SELAMAT DATANG

Sunday, December 27, 2009

Tahun Baru dan Azam Baru Anda

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih dan mengharapkan kemaafan anda semua. Terima kasih kerana sudi berkunjung ke laman ini walaupun telah lebih dua bulan tidak dikemaskini. Maaf kerana telah lama tidak menyediakan wadah dan artikel baru untuk bacaan anda kerana ‘kesibukan’ di luar jangkaan. Untuk tidak menghampakan anda saya sediakan sedikit bahan bacaan untuk inspirasi dan cetusan idea baru untuk anda.

Kepada kaum muslimin dan muslimat saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru Hijrah 1431 yang baru kita sambut pada 1 Muharram bersamaan 18 Disember 2009 yang lepas. Dan beberapa hari lagi kita akan melangkah ke tahun baru Masihi 2010. Menyentuh tentang tahun baru ini, mungkin telah menjadi kebiasaan kita untuk menanamkan azam baru setiap kali tibanya tahun baru sama ada pada 1 Muharram ataupun pada 1 Januari setiap tahun.

Sebenarnya artikel ini bukan hanya sesuai dibaca menjelang awal tahun ini sahaja, tetapi bagus untuk disemak pada bila-bila masa jua – sama ada di awal, di pertengahan atau akhir tahun sekalipun. Sebenarnya dalam keghairahan untuk membuat satu azam baru yang hebat, satu persoalan timbul, iaitu “Adakah kita telah mencapai matlamat atau azam yang kita rancangkan tahun lepas?”

Anda mungkin masih boleh ingat jawapan anda semasa ditanya tentang azam baru anda tahun lepas. Mungkin anda salah seorang daripada mereka yang menjawab dengan semangat berkobar-kobar dan penuh ghairah semasa menerangkan azam baru anda dan setiap perkara baru yang ingin anda capai. Dan sekiranya ditanya tentang sejauh mana pencapaian anda beberapa bulan kemudian, adakah anda masih bersemangat dan ghairah seperti sebelumnya. Sekiranya ya, Tahniah! Jika tidak, anda mungkin seperti beberapa orang lain yang menjawab seperti ini:

1. “Saya tidak ada azam baru sebab saya tidak pernah capai apa yang saya rancangkan”
2. “Mula-mula saya begitu bersemangat, tapi sekarang sudah tidak minat untuk capai azam baru saya”

Satu persoalan timbul, iaitu sama ada azam baru ini hanya sekadar satu gimik secara psikologi yang kita reka untuk memeriahkan sambutan tahun baru kita, atau ianya satu petanda bahawa kita ingin membuat satu pembaharuan dalam hidup kita?

Kenapakah kita begitu bersemangat pada mulanya, tetapi setelah beberapa bulan berlalu, ianya hanya tinggal sebagai satu agenda usang dalam diari atau kalendar kita, atau sekadar satu memori dalam ingatan kita? Kenapa kita begitu ghairah pada permulaannya, tetapi hilang minat untuk menjadikan azam baru kita satu kenyataan? Jika ini tidak berlaku pada anda dan anda telahpun berjaya mencapai azam yang anda buat tahun lepas, Tahniah! Anda tidak perlu membaca artikel ini. Jika tidak, mari kita selidik bersama-sama antara sebab-sebabnya.


Kenapa begitu sukar untuk mencapai azam baru saya?

Menurut pakar, ada beberapa sebab-sebab yang umum:

1. Tidak cukup komitmen

Ini mungkin berlaku kerana:
a) Anda tidak menulis apa azam baru yang ingin anda capai

b) Anda tidak berkongsi azam baru anda dengan orang lain. Ini mungkin kerana anda takut atau malu akan diperkecilkan oleh orang lain sekiranya anda tidak berjaya mencapai matlamat anda

c) Anda berfikir bahawa azam baru anda hanyalah satu perkara baru yang bagus, tetapi tidak begitu penting untuk anda capai

d) Anda berfikir bahawa sekiranya anda tidak berjaya mencapainya tahun ini, anda boleh melaksanakannya tahun depan atau ppada tahun-tahun yang seterusnya


2. Tiada perancangan yang baik dan terperinci tentang cara-cara untuk mencapai azam tahun baru anda

3. Matlamat yang anda pilih sebagai azam baru anda terlalu banyak, terlalu kabur, terlalu rumit atau terlalu tinggi


Hanya sekadar agenda sampingan

Sekiranya anda bekerja dengan majikan, mungkin anda telah biasa dengan tugasan-tugasan penting yang diamanatkan oleh ketua atau bos anda; dan sekiranya anda bekerja sendiri, tentu anda telah maklum akan kerja-kerja yang perlu anda laksanakan untuk memenuhi citarasa pelanggan anda. Apabila kita berhadapan dengan kesuntukan masa menjelang ‘dateline’ dengan ratusan tugasan yang belum dapat kita laksanakan, tubuh kita akan bertindakbalas dengan deruan adrenalin ke segenap pelusuk tubuh dan otak kita, mengakibatkan kita berasa cemas dan akan tergesa-gesa untuk menyiapkan segala urusan kita. Ini adalah kerana kita tahu akibat kegagalan kita untuk menyempurnakan tugasan kita – sama ada kita akan dimarahi bos kita, atau kita akan kehilangan pelanggan kita yang berharga.

Malangnya, apabila berhadapan dengan azam baru yang belum kita capai lagi menjelang hujung tahun, kita hanya beranggapan ianya sebagai ‘bonus’ sekiranya kita berjaya mencapainya. Mungkin sememangnya ianya hanyalah sekadar agenda tambahan, tetapi apakah yang digambarkan oleh sikap kita yang sebegitu tentang diri kita?

Semuanya berkaitan dengan menetapkan matlamat anda

Mungkin persoalan utamanya bukanlah sama ada anda telah mencapai azam baru anda atau tidak, tetapi sebenarnya adalah tentang kesungguhan kita untuk mencapai matlamat yang kita rancangkan. Kita mungkin telah terbiasa untuk melambatkan atau menangguhkan perkara yang kita rasa tidak begitu penting, atau melakukan sesuatu tugasan hanya apabila kita terdesak atau teramat perlu melakukannya. Kita seolah-olah rela membiarkan hidup kita berlalu tanpa pencapaian yang jitu dan mantap dalam hidup kita, daripada berusaha lebih sedikit untuk membuat perubahan yang nyata dalam hidup kita.

Jadi, bagaimana harus kita mulakan?

Cara-cara menjadikan azam baru anda satu kenyataan

1. Materialisasikan idea anda
Anda perlu tunjukkan kesungguhan anda dengan menulis azam baru anda di dalam diari atau organizer anda, atau tampalkannya di dinding. Dengan melihat azam baru anda dalam bentuk tulisan, anda telah mengambil langkah utama di dalam mencapai azam baru anda.

Kemudian buangkan perasaan negatif anda dengan berkongsi idea anda dengan keluarga dan rakan-rakan anda. Ini membolehkan mereka mengingatkan anda dari masa ke semasa sekiranya anda hilang semangat atau terlupa tentang azam baru anda. Dengan mengzahirkan keghairahan anda kepada orang lain, mereka akan dapat rasakan kesungguhan anda untuk berubah.

2. Pecahkan proses perubahan yang anda inginkan dan pantau dari masa ke semasa.
Adalah lebih baik untuk anda memecahkan satu matlamat utama yang ingin anda capai untuk tahun itu menjadi beberapa matlamat kecil yang ingin anda capai secara berperingkat-peringkat. Contohnya, jika anda ingin berhenti merokok dan telah terbiasa menghisap 20 batang dalam sehari, anda boleh membuat matlamat secara berperingkat iaitu mengurangkan tabiat merokok anda kepada 15 batang pada akhir bulan Mac, 10 batang pada akhir bulan Jun, dan seterusnya. Sudah tentu ianya kelihatan lebih mudah dan lebih praktikal, bukan?

Tidak cukup sekadar mencapai matlamat anda secara berperingkat-peringkat, anda juga perlu memantau pencapaian anda. Sekiranya anda berjaya seperti yang anda rancang pada setiap ‘checkpoint’, manjakan diri anda dengan sesuatu yang anda suka (selain dari yang berkaitan dengan tabiat buruk anda). Sebaliknya jika anda gagal mencapai apa yang anda rancangkan, kaji semula di mana kelemahan anda dan betulkan kesilapan anda.

3. Tumpukan pada satu matlamat dahulu
Adalah lebih baik untuk berjaya mencapai satu matlamat anda secara sempurna, daripada mempunyai 10 matlamat yang hanya berjaya anda capai secara berdikit-dikit.

4. Dapatkan nasihat pakar
Jika anda percaya anda berjaya tanpa bantuan orang lain, teruskan usaha anda. Jika tidak, dapatkan nasihat mereka yang pakar dalam bidang itu, atau mereka yang pernah mengalami masalah yang sama dan telah berjaya mengatasinya dalam hidup mereka. Di zaman ini anda boleh dapatkan nasihat dalam bentuk e-buku (ebook), video dan audio yang dihasilkan oleh mereka yang pakar dalam bidang ini, ataupun panduan oleh mereka yang telah berjaya mengatasinya dalam hidup mereka, pada kos yang jauh lebih murah daripada berjumpa dengan pakar dalam bidang tersebut. Nasihat-nasihat begini boleh anda dapati tentang panduan untuk berhenti merokok, berhenti mengambil minuman keras, motivasi diri, menangani masalah stres dan rendah diri, dan pelbagai masalah lagi.

Semoga tip-tip yang saya berikan dapat membantu anda untuk menjadikan azam baru anda satu kenyataan. Bayangkan bagaimana jika anda berjaya menjadikan azam baru anda satu realiti, sudah tentu tahun baru anda akan jadi lebih meriah dan menjadi pembakar semangat untuk mencipta azam-azam yang baru untuk tahun-tahun yang akan datang. Selamat Tahun Baru dan Semoga berjaya dalam apa jua yang anda rancangkan..

Tuesday, October 6, 2009

Keusahawanan - Antara Realiti dan Fantasi



Ramai orang berminat untuk memulakan perniagaan atau perusahaan sendiri dan bergelar usahawan kerana teruja dengan kemungkinan yang tiada batas berbanding dengan bekerja di bawah orang lain. Namun begitu, adakah cukup sekadar minat dan semangat yang berkobar untuk menjadikan impian itu satu realiti?

Terdapat beberapa sebab seseorang itu tertarik untuk memulakan perniagaan sendiri. Antaranya adalah:
1. peluang untuk mendapat sumber kewangan yang banyak
2. menjadi terkenal
3. ingin menjadi bos kepada diri sendiri
4. bosan bekerja dengan orang lain
5. kestabilan kewangan untuk diri dan keluarga
6. bekerja ikut masa yang ditetapkan sendiri
7. menjadikan hobi sebagai sumber pendapatan
8.mencipta kejayaan dengan titik-peluh sendiri

Meskipun kejayaan dan keuntungan yang dijanjikan dengan menjadi seorang usahawan adalah besar, di sebaliknya juga terdapat pelbagai risiko dan cabaran yang perlu anda lalui.
Antaranya adalah:
1. Memerlukan kerja keras dan masa bekerja yang lama, pada peringkat permulaan dan untuk mengekalkan prestasi perniagaan anda.
2. Pelbagai cabaran yang perlu anda hadapi boleh memberikan tekanan yang lebih dalam hidup anda
3. Anda terpaksa mengurangkan masa yang perlu diluangkan bersama keluarga, bagi memastikan kejayaan perniagaan atau perusahaan anda
4. Anda terdedah kepada risiko hutang kepada para pemiutang dan hutang kepada pelanggan secara kredit. Ini termasuk kemungkinan anda terpaksa menjual aset anda berupa rumah, kereta atau apa saja untuk melangsaikan hutang anda.

Bidang keusahawanan adalah penuh dengan risiko dan cabaran, tetapi jika anda berjaya menghadapinya dengan baik, jalan yang luas terbentang di hadapan anda mungkin sehingga ke peringkat global atau antarabangsa.

Untuk maklumat lanjut tentang persiapan yang anda perlukan untuk menceburi bidang keusahawanan, atau menguji sejauh mana kesediaan anda untuk menceburi bidang ini, sila kunjungi Segmen Wang & Perniagaan.

Gaya Hidup Sihat


Dalam kesibukan kita sama ada dalam menguruskan kehidupan kita atau menyelesaikan masalah seharian, kita sering terlepas pandang kepentingan untuk menjaga kesihatan kita. Sebagaimana pelbagai nikmat dan kesenangan lain yang kita kecapi, nilai dan kepentingannya hanya kita hargai apabila ia sudah lenyap dari kehidupan kita.

Kesihatan adalah satu nikmat yang amat bernilai, kerana dengan kesihatan yang baik kita boleh menjalani kehidupan dengan skop yang lebih luas dan mencuba pelbagai kemungkinan yang ada. Namun begitu, kesihatan kita dipengaruhi oleh pelbagai faktor fizikal, mental dan spiritual. Faktor-faktor fizikal melibatkan gaya hidup kita (sama ada kita merokok atau mengambil alkohol), kekerapan kita bersenam untuk melancarkan peredaran darah dan mengeluarkan toksin tubuh melalui sistem perpeluhan kita. Faktor-faktor mental melibatkan tekanan yang kita hadapi termasuk stres atau gangguan psikologi. Faktor spiritual melibatkan perkara-perkara berkaitan dengan pegangan beragama kita. Sebagai contoh, di dalam Islam terdapat hadis yang berkaitan dengan penjagaan kesihatan melalui solat atau sembahyang dan bangun tahajjud di kegelapan malam (sumber: Halaqah.net)

Terdapat pelbagai sumber di internet untuk kita mengkaji sejauh mana tahap kesihatan kita dan
sejauh mana kita terdedah kepada risiko penyakit seperti serangan jantung, diabetes, kemurungan (depression) dan lain-lain. Anda juga boleh mengetahu sebahagian daripada laman-laman yang berkaitan dengan kesihatan anda dengan mengunjungi Segmen Kesihatan & Pemakanan

Lelaki : ED dan EHS


Di dalam alam rumahtangga, dua perkara ini menjadi fokus kepada setiap kaum Adam dalam menjalani kehidupan berkelamin yang bahagia. Meskipun ada pendapat mengatakan seks bukanlah satu-satunya perkara penting di dalam alam perkahwinan, tetapi ia boleh menjadikan hubungan suami-isteri lebih intim dan sempurna.

Ereksi merujuk kepada kebolehan alat kelamin lelaki untuk tahan sepanjang proses bersenggama atau selama yang dikehendaki. Ejakulasi pula adalah proses di mana air mani dilepaskan keluar daripada bahagian testis melalui urethra. Ereksi dan ejakulasi adalah berkait rapat kerana pada kebiasaannya ereksi akan hilang selepas proses ejakulasi berlaku. Terdapat juga kes di mana ereksi boleh kekal walaupun ejakulasi telah berlaku, sehingga berjam-jam lamanya. Keadaan ini dipanggil Priapism. Meskipun kebolehan untuk menahan ereksi sehingga berjam-jam lamanya adalah menjadi impian setiap lelaki, namun hakikatnya priapism yang berlaku lebih daripada 4 jam boleh menyakitkan dan sekiranya ia berterusan sehingga lebih 12 jam boleh mengakibatkan kecederaan kekal (sila kunjungi Segmen Lelaki untuk mengetahui lebih lanjut tentang Priapism)

Kegagalan alat kelamin lelaki berfungsi dengan baik dipanggil "Erectile Dysfunction" atau singkatannya ED. ED boleh diukur dengan "Erection Health Scale" (EHS) iaitu skala bagi mengukur kesihatan atau ketegangan ereksi yang diperkenalkan oleh Pfizer, pengeluar produk Viagra yang digunakan untuk mereka yang mengalami masalah ED.

Menurut skala ini ketegangan ereksi dikategorikan kepada empat jenis:
1 - Tiada ereksi walaupun saiz besar
2 - Ada ereksi, tetapi tidak cukup padat untuk melakukan hubungan kelamin
3 - Ada ereksi, tetapi tidak tegang sepenuhnya semasa melakukan hubungan kelamin
4 - Ereksi sempurna dan tegang sepenuhnya

Walaupun sedikit melucukan, tetapi perumpamaan keempat-empat skala ini dari 1 hingga empat telah diperbandingkan dengan tahu, pisang yang telah dikupas, pisang yang belum dikupas dan timun.

Oleh itu, janganlah anda terkejut jika seseorang bertanya kepada anda,
"Saudara ini tauhu, pisang atau timun?"

Untuk maklumat lanjut tentang ereksi yang normal, pelbagai komplikasi ejakulasi (termasuk ejakulasi pramatang dan priapism) dan pelbagai teknik mengatasi ED, sila kunjungi Segmen Lelaki

Merokok - Perlukah Anda Berhenti?

Sekiranya anda seorang perokok, tentu soalan ini sering bermain di fikiran anda, terutamanya setelah tabiat ini telah sebati dalam hidup anda dan adakala menjadi sumber motivasi atau inspirasi dalam hidup anda.

Tentu anda telah berdepan dengan pelbagai gimik dan taktik untuk menakutkan anda atau untuk memujuk anda secara berhemah supaya meninggalkan tabiat tersebut.

Terdapat pelbagai cara digunakan di dalam kempen anti-rokok yang digunakan di seluruh dunia. Antaranya adalah:

1. Memaparkan gambar-gambar pesakit kronik yang diakibatkan oleh tabiat merokok.
Ini tentu telah biasa anda lihat (dan telah lali) pada kotak rokok, di dalam akhbar, televisyen, papan tanda atau mungkin pada dinding bas.

2. Memberikan statistik-statistik kematian berkaitan dengan tabiat merokok sama ada di negara kita atau seluruh dunia

3. Memberikan alternatif kepada tabiat tersebut, supaya anda dapat meninggalkan ketagihan kepada nikotin di dalam tembakau

4. Mengadakan kempen secara global untuk menangani ketagihan kepada tabiat ini
Ini termasuk pengisytiharan Hari Tanpa Tembakau Sedunia pada 31 Mei setiap tahun

5. Menggunakan pendekatan bijak secara "reverse psychology" atau taktik lain bagi membolehkan perokok melihat tabiat mereka dari sudut yang berbeza. Ini termasuk lukisan atau gambar mural yang kreatif peperti yang dihasilkan oleh Everest Brand Solutions dan the Cancer Patients Aid Association (sila kunjungi Segmen Kesihatan & Pemakanan untuk melihat gambar ini)

Sama ada kempen-kempen ini adalah sekadar gimik atau taktik, kita tidak dapat menafikan bahawa kesan-kesan buruk akibat merokok sememangnya wujud walaupun betapa sebatinya kita dengan tabiat ini. Tambahan pula laporan terbaru menunjukkan terdapat kategori baru dalam jenis-jenis perokok iaitu "third hand smoker" atau perokok ketiga yang mendapat kesan-kesan buruk dari rokok bukan secara kaitan terus dengan asap atau rokok itu sendiri. Perokok ketiga ini mendapat kesan merokok daripada objek-objek yang berkaitan dengan perokok seperti rambut, pakaian, permaidani atau sofa. Laporan yang asalnya bertujuan mengkaji risiko ke atas bayi dan kanak-kanak ini, diterbitkan di dalam Jurnal Pediatrik Amerika Syarikat dalam bulan Januari tahun ini.

Jika anda terfikir untuk berhenti tetapi tertanya-tanya apakah peluang anda untuk dapat meninggalkan terus tabiat ini, sila kunjungi Segmen Kesihatan & Pemakanan . Anda juga boleh mengetahui lebih lanjut tentang Kenpen Anti Tembakau Sedunia dengan berkunjung ke segmen tersebut Klik Di Sini




Sunday, September 27, 2009

Mazhab Cinta, Karya Penulisan dan Kausar Kreatif


Salam kunjungan kepada semua pembaca laman saya yang tidak seberapa ini. Tentu ramai yang tertanya kenapa entri di sini lama sudah tidak dikemaskini. Dan tentu ada yang tertanya-tanya apa kena mengena gambar Antologi Cerpen Saudara WB Rendra berjudul Mazhab Cinta yang ada di laman blog saya ini. Untuk menerangkannya, ada beberapa perkara yang ingin saya kongsikan bersama anda:

1. Gambar naskhah Mazhab Cinta itu saya letakkan sekadar berkongsi maklumat bahawa saya telah terpilih untuk memiliki naskhah tersebut semasa menyertai program anjuran saudara Rendra sebelum hari raya yang lepas. Saya memang tidak sangka akan terpilih kerana saya fikir tentu ramai yang lebih layak dan memberi komen yang lebih baik daripada saya. Tapi, mungkin juga ini rezeki saya menjelang raya :). Dan saya kira 'janji' yang saya buat dalam komen itu harus saya tunaikan...

2. Akhir-akhir ini saya seakan 'terpanggil' untuk menceburi bidang karya penulisan kreatif. Bermula dengan kunjungan secara tidak disengajakan ke sebuah laman blog seorang editor, diikuti dengan beberapa laman blog yang lain. Sememangnya itu dua bidang berbeza - penulisan kreatif dan penulisan berbentuk maklumat dan tips. Pada masa ini saya sedang sibuk menyiapkan sebuah novel (ya, sebuah novel...). Tapi sama ada ianya akan berada di pasaran satu hari nanti atau tidak, itu di luar bidang kuasa saya. Sebagai insan kita hanya mampu berusaha, dan selebihnya terserah kepadaNya.

3. Ekoran dari perkara #2 di atas, saya ada perancangan baru di Kausar Kreatif. Terlalu awal untuk saya memberitahu hala tuju perkara ini. Tetapi sekiranya anda setia mengikuti perkembangan di laman ini, anda akan tahu juga apa yang saya maksudkan. Buat masa ini, cukuplah itu sebagai petanda awal kepada anda.

4. Lantaran kesibukan baru ini, saya akan cuba membuat entri baru di dalam segmen-segmen yang ada, paling tidak pun sesuatu yang saya ambil secara berhemah dari tempat lain untuk dikongsi dengan anda.

Akhir kata, terima kasih kerana sudi terus berkunjung ke sini walaupun dalam keadaan laman saya yang serba kekurangan ini. Selamat berkunjungan dan menerima kunjungan sepanjang bulan Syawal ini dan selamat kembali bertugas kepada anda semua.

Sunday, September 13, 2009

Selamat Hari Raya Aidil Fitri

Dalam kesibukan kita menjalani ibadah puasa, membuat persiapan berbuka puasa dan membuat persiapan untuk menyambut hari raya, bulan Ramadhan telah hampir ke penghujung dan bulan Syawal akan menjelma tidak lama lagi.

Semoga Ramadhan tahun ini dapat memberi perubahan positif kepada diri kita dalam memperbaiki amalan kita. Kadang-kadang kerana terlalu sibuk dan teruja untuk menyambut hari raya, kita terlupa bahawa bulan Ramadhan adalah peluang terbaik untuk memperbaiki atau memulakan sesuatu perubahan positif dalam diri kita kerana pada bulan ini terdapat riwayat mengatakan bahawa syaitan dirantai, menunjukkan lebih mudah berbuat kebaikan dan meninggalkan kejahatan pada bulan ini (wallahua'lam)

Janganlah kerana mengejar keseronokan pada hari raya yang bakal menjelma, kita terlalai sehingga berlebih-lebihan, membazir dan saling berkejaran mendahului satu sama lain dalam hal-hal keduniaan.

Masih ada peluang lagi untuk kita memperbaiki atau meningkatkan amalan kita dengan beberapa hari penghujung bulan Ramadhan. Kepada yang masih belum menunaikan zakat fitrah, jangan ditangguh sehingga telah selesai solat atau sembahyang sunat Hari Raya Aidilfitri.

Kepada yang akan meninggalkan rumah untuk jangkamasa yang lama, jangan lupa untuk mengambil langkah-langkah keselamatan yang perlu. Dan kepada yang akan berjalan jauh, jangan lupa juga memastikan kenderaan dan keluarga anda dalam keadaan yang baik dan selamat. Kerana seringkali kecuaian yang sedikit pada saat-saat akhir mengakibatkan penyesalan yang berpanjangan.

Dengan kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada semua pengunjung Kausar Kreatif yang beragama Islam. Semoga ibadah puasa kita semua tahun ini diterima oleh Allah swt.

Saya ingin juga memohon maaf zahir dan batin sekiranya ada sebarang kesilapan atau tulisan yang mengguris hati sesiapa, kerana matlamat utama Kausar Kreatif adalah memberikan alternatif kepada anda di dalam mendapatkan maklumat, tips dan idea di dunia online, di samping memberi peluang untuk anda mempromosi laman, produk atau perkhidmatan anda. Jangan lupa juga untuk berkunjung ke Mini Forum Google Group atau Warong Kopi saya untuk meninggalkan ucapan atau pesanan anda.

Monday, August 31, 2009

Kemerdekaan, khazanah yang tidak ternilai


Dalam menjalani arus peredaran masa dengan perkembangan yang berlaku saban hari di Malaysia dan seluruh dunia, tanpa kita sedari telah 52 tahun negara kita mengecapi nikmat kemerdekaan. Dalam kesenangan atau kepayahan yang kita hadapi saban hari, kemerdekaan hanya tinggal sebagai satu lembaran sejarah atau satu tarikh untuk diraikan oleh segenap lapisan masyarakat dan kaum di Malaysia.

Telah menjadi adat manusia apabila mengecapi sesuatu nikmat, peluang atau kesenangan, lama-kelamaan kita akan tenggelam dalam keseronokan hingga alpa dan lalai daripada menghargai nilai sesuatu yang kita miliki. Nilai kemerdekaan hanya dapat dirasai oleh mereka yang telah merasa jerih-perit hidup dalam penjajahan dan perjuangan hingga menitiskan keringat dan darah untuk lepas dari belenggu penjajahan.

Hari ini kita menonton atau mendengar upacara pengisytiharan kemerdekaan oleh Allayarham Tunku Abdul Rahman sebagai satu upacara bersejarah, tetapi kita tidak dapat merasakan harga dan nilai sebenar di sebalik kejayaan perjuangan mereka yang telah berhempas-pulas untuk sampai ke matlamat itu.

Di pelbagai pelusuk dunia pada masa ini, masih ada negara-negara yang diancam peperangan dan hidup di dalam ketakutan dan kepayahan. Bagi mereka hidup di dalam keamanan dan keselamatan daripada ancaman peperangan dan kebuluran adalah satu impian yang belum tentu dapat dicapai selama hayat mereka. Kanak-kanak pada usia yang sepatutnya sedang riuh bergelak-ketawa bermain-main di laman bersama rakan, telah merasa ketakutan dan kekalutan akibat bedilan bom dan tembakan peluru yang boleh tiba bila-bila masa tanpa disangka-sangka.

Kemerdekaan adalah satu nikmat yang ada di antara kita telah nikmati semenjak tiba di dunia ini lagi. Sememangnya sukar untuk kita menghayati nilai dan erti sebenar kemerdekaan kerana kita tidak berada di dalam kepayahan dan kesengsaraan hidup dalam peperangan dan penjajahan.

Nikmat kemerdekaan ini adalah satu anugerah yang setiap di antara kita bertanggung-jawab untuk menjaga dan meneruskannya hingga ke generasi yang akan datang. Adalah lebih mudah untuk merosakkan keamanan daripada mengekalkannya. Janganlah kerana perbezaan pendapat dan fahaman sesama kaum, ataupun kerana perbezaan kaum, atau juga kerana perbezaan fahaman beragama kita, keamanan dan kesenangan yang kita kecapi hari ini menjadi taruhan. Tidak mustahil jika kita mengabaikan tanggung-jawab kita, kemerdekaan yang kita miliki hari ini akan kembali menjadi kehidupan dibelenggu penjajahan kerana ancaman dan musuh-musuh negara sentiasa mencari dan mengambil kesempatan dengan peluang yang ada.

Dengan peluang ini juga, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Negara Malaysia yang ke 52 kepada seluruh rakyat Malaysia, tidak kira agama, bangsa atau di mana pelusuk dunia anda berada pada masa ini.



"Di wajah suci anak-anak ini ku lihat sinar
Di hati murni mereka terpahat sebuah impian
Andai sengketa membelenggu sesama
Andai kerakusan menguasai kita
Ke manakan tumpah harapan mereka

Kerna,
Di bahu kitalah terpikul segunung amanah
Di jemala kita terjunjung selaut ikrar
Melunas sumpah, menunai janji

Ayuhlah,
Rakan dan taulan, sahabat dan saingan
Lupakan beda lebihkan menerima
Bertatihlah bersamaku, kita berjalan seiringan, kita melangkah sehaluan
1 suara, 1 impian, 1 harapan, 1Malaysia"


"Harapan" - Nukilan Perdana Menteri Malaysia, Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak (Sumber: Malaysia Merdeka)

Sunday, August 16, 2009

Ramadhan, kedatangan yang ditunggu?


Saban tahun, akan tiba satu bulan di mana pelbagai reaksi akan kita dapat daripada pelbagai golongan masyarakat khususnya umat Islam.

Ada yang mengeluh kerana terpaksa menahan lapar dan dahaga selama sebulan. Ada yang mengeluh kerana pada bulan ini penyakit gastrik datang lagi. Tak kurang juga yang mengeluh kerana pada bulan ini terpaksa balik awal (jika bekerja) untuk menyiapkan juadah berbuka untuk keluarga. Dan mungkin juga ada yang mengeluh kerana pada bulan ini banyak perbelanjaan terpaksa dikeluarkan untuk persiapan menyambut Hari Raya selepas tamat bulan Ramadhan nanti.


Ada juga yang gembira dengan kedatangan bulan Ramadhan, kerana ia membuka peluang mencari rezeki tambahan, sama ada berniaga di bazar Ramadhan atau menjual barang-barang persiapan untuk menyambut Hari Raya termasuk kuih raya, perhiasan rumah atau pakaian.

Bagi golongan bukan Islam juga, bulan Ramadhan adalah peluang untuk menikmati pelbagai jenis juadah yang tidak dapat dinikmati di dalam bulan-bulan yang lain, terutamanya di bazar-bazar Ramadhan.
Yang pastinya Ramadhan janganlah kita hadkan hanya kepada makan-minum dan persiapan untuk beraya saja, kerana matlamat utamanya adalah untuk membentuk ruhani dan kehidupan kita ke arah yang lebih baik.

Ramadhan adalah peluang untuk kita mempertingkatkan kesihatan kita kerana setelah setahun kita memanjakan diri kita dengan pelbagai juadah yang enak, ini adalah masa yang baik untuk memberi peluang tubuh kita "berehat" terutamanya di bahagian penghadaman dan pemakanan.

Ramadhan juga memberi kita peluang untuk menghayati kehidupan masyarakat yang kurang berkemampuan, yang terpaksa berlapar dan dahaga kerana tidak ada apa untuk dimakan atau minum, terutamanya di negara-negara yang diancam kebuluran akibat bencana alam dan peperangan. Meskipun negara kita diancam wabak H1N1 buat masa ini, namun kenikmatan hidup yang kita alami di bumi Malaysia ini jauh lebih baik daripada sebahagian dari tempat-tempat lain di pelusuk bumi ini.

Mungkin Ramadhan tahun ini adalah peluang baik untuk kita mengimbas semula kehidupan kita, sama ada ianya lebih baik dari tahun-tahun sebelum ini, ataupun sebaliknya. Sebagai umat Islam kita meyakini bahawa kehidupan bukanlah untuk penghidupan di dunia ini sahaja, malah untuk kehidupan yang penuh misteri di alam terkemudian yang hanya kita ketahui beritanya daripada Al-Quran dan kata-kata junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. Janganlah hendaknya kesibukan kita seharian menjadi alasan untuk kita mengemudiankan perihal persiapan kita ke alam sana kerana akhir-akhir ini banyak berita-berita kematian mengejut yang kita terima terutamanya di kalangan selebriti yang kita sanjung dan kagumi. Yang pastinya kita semua adalah dalam perjalanan ke sana, tanpa mengetahui tarikh keberangkatan kita...

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang persiapan yang perlu untuk kita menghadapi ibadat puasa ini dan muat turun risalah tentang Ramadhan, silalah berkunjung ke segmen Agama untuk membaca tentang Ramadhan dan Ibadah Puasa.

Dengan kesempatan ini juga saya ingin ucapkan selamat menyambut bulan Ramadhan dan selamat mengerjakan ibadah puasa kepada semua pengunjung Kausar Kreatif yang beragama Islam. Semoga Ramadhan tahun ini dapat membentuk diri yang lebih baik untuk diri saya dan anda semua juga, insya'Allah.

Wallahua'lam dan wassalam.
--------------------------------------------------------------------------------------
Nota: Kadar jumlah bayaran zakat fitrah bagi negeri-negeri di Malaysia bagi tahun 2009 (kecuali Kelantan dan Wilayah):
Selangor, Pahang, Perak, Kedah dan Pulau Pinang - RM7.00

Terengganu - RM5.00, RM7.00 dan RM8.00

Johor - RM5.00 dan RM7.50

Sabah - RM6.60

Negeri Sembilan - RM6.50

Melaka - RM6.30

Sarawak dan Perlis - RM6.00
Sumber: Utusan Online
--------------------------------------------------------------------------------------

Saturday, August 15, 2009

Mata dan arus perkembangan teknologi

Di dalam arus perubahan teknologi, mata juga menjadi fokus pelbagai inovasi masa kini. Sama ada dalam penggunaan kacamata, kanta lekap atau surgeri untuk mengembalikan fungsi mata.

Terdapat pelbagai inovasi kacamata biasa atau gelap dengan pelbagai bentuk dan gaya mengikut citarasa anda di samping memberi ciri-ciri tambahan. Contohnya adalah kacamata dengan fungsi USB.

Pelbagai jenis kacamata untuk memenuhi citarasa anda

Kacamata gelap dengan fungsi USB


Suatu masa dahulu kanta lekap adalah sebagai ganti untuk cermin-mata, tetapi kini ia telah menjadi aksesori tambahan untuk bergaya dan menjadi kegilaan generasi baru masa kini. Didatangkan di dalam pelbagai warna, corak dan tema, aksesori kanta lekap ini dapat memenuhi citarasa mereka yang berani tampil dengan kelainan dan gaya berbeza.

Aksesori kanta lekap dengan gaya lebih berani


Kanta lekap Geonude untuk gaya ala anime


Sekiranya cermin mata dan kanta lekap bukan citarasa anda dan anda inginkan sesuatu yang lebih kelihatan semulajadi, anda boleh jalani pembedahan lasik (singkatan untuk Laser-Assisted In Situ Keratomileusis) untuk membetulkan kornea mata anda dan mengembalikan titik fokal mata anda seperti sediakala. Surgeri yang menggunakan laser ini memakan masa lebih kurang 15 minit sahaja dan anda boleh melihat selepas pembedahan tersebut tanpa perlu dibalut atau diwadkan, namun perlu menjalani penjagaan rapi.


Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang penjagaan mata di samping teknik-teknik senaman untuk mata anda dan tips untuk menyerlahkan kecantikan mata anda dengan kosmetik, sila baca artikel Tips agar mata anda kelihatan sihat dan jelita di dalam segmen Wanita & Kecantikan

Sunday, July 26, 2009

Sepintas Lalu Di Kausar Kreatif

Salam kunjungan buat semua pembaca yang budiman,

Tanpa disedari telah hampir 3 bulan usia Laman Blog Kausar Kreatif ini, namun sambutan anda para pengunjung yang budiman dan dihormati rasanya seperti sudah bertahun lamanya.

Sepanjang pemblogan saya di sini saya ingin meminta maaf jika ada kesilapan teknik sama ada bahasa yang kurang sempurna atau ejaan dan maklumat yang kurang tepat, namun matlamat utamanya adalah memberikan alternatif baru kepada anda dalam mendapatkan maklumat di internet yang bagaikan lambakan info digital yang kadangkala mengelirukan dan membuat kita tenggelam dalam kesesakan.

Sebenarnya terlalu banyak rancangan saya untuk anda sebagai pengunjung yang setia, tetapi kadangkala masa amat mencemburui saya dan rancangan hanya tinggal satu agenda dalam organizer saya atau terpendam dalam minda. Tapi mudah-mudahan dengan kesabaran anda satu hari nanti ianya akan menjadi kenyataan juga.

Yang terbaru di Kausar Kreatif adalah ruangan mini forum yang saya gelarkan WARONG KOPI KAUSAR KREATIF yang saya adakan sebagai alternatif di samping artikel-artikel yang ada untuk anda. Anda boleh berkongsi pandangan dan maklumat dengan komuniti di Kausar Kreatif, dan jika ada rakan-rakan yang sedang online, mungkin anda boleh berborak atau berchatting bersama. Anda tak perlu register atau mendaftar, hanya perlu log in dengan Google ID anda. Jika anda ingin buatkan Google ID yang baru untuk maksud ini pun boleh juga, tambahan pula ianya percuma.

Kepada yang ingin meletakkan iklan anda di pelbagai segmen yang ada di Kausar Kreatif, anda dialu-alukan. Jika anda ingin meletak iklan percuma, boleh juga dengan bertukar-tukar link. Link anda akan diletakkan di segmen yang berkenaan.

Sebenarnya terlalu banyak artikel yang hendak saya sediakan, tetapi keadaan masa agak tidak mengizinkan dengan komitmen saya kepada pelbagai tugasan saya di luar dunia digital ini.

Kesabaran anda dalam menantikan artikel terbaru daripada saya amat saya hargai.

Di samping membaca artikel di laman saya dan berkongsi pandangan di warong kopi saya. jangan lupa berkunjung ke setiap laman-laman blog atau web lain yang saya linkkan di setiap mukasurat laman blog, laman utama dan segmen-segmen yang ada. Mungkin ada yang menepati citarasa anda di sana.

Harap-harap saya akan dapat menghasilkan artikel yang menarik dan bersesuaian dengan anda dalam masa terdekat ini.

Akhir kata, Selamat Bersantai dan Selamat Membaca... : )

Thursday, July 23, 2009

Syabaan telah tiba, Ramadhan bakal menyusul

Terasa baru saja menyambut bulan Rejab dan kini kita telahpun berada di dalam bulan Syaaban. Ketibaan Syaaban menandakan hanya ada beberapa minggu sahaja lagi sebelum tibanya Bulan Ramadhan Al-Mubarak, bulan yang penuh keberkatan dan keampunan buat mereka yang mencari keredhaan Allah di dalamnya.

Antara peristiwa utama yang berlaku di dalam bulan Syaaban adalah pertukaran kiblat untuk menunaikan sembahyang atau solat dari masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis ke Kaabah di Mekah.

Jika bulan Rejab kita kaitkan dengan Peristiwa Israk Mikraj yang dialami Baginda Rasulullah s.a.w, bulan Syabaan kita ingati dengan kehadiran Malam Nisfu Syaaban pada 15 Syaaban (tahun ini jatuh pada 6 Ogos 2009). Meskipun tiada sumber yang sahih tentang pertukaran buku amalan manusia pada malam tersebut (bahawa buku amalan pada tahun lepas akan dinaikkan ke langit dan buku baru akan dibuka pada malam tersebut), namun telah menjadi amalan umat Islam terutamanya di negara kita untuk membaca surah Yasin sebanyak tiga kali dengan niat yang berlainan bagi setiap satu bacaan.

Bulan Rejab, Syaaban dan Ramadhan adalah peluang untuk kita memperbaiki dan mempertingkatkan amalan di dalam kehidupan kita, dan terpulanglah kepada kita untuk mengambil kesempatan yang hadir hanya sekali setiap tahun ini, atau membiarkan ianya berlalu dalam kehidupan kita tanpa sebarang perubahan...

Untuk maklumat lanjut tentang Bulan Syaaban sila kunjungi Segmen Agama

Sunday, July 19, 2009

Blog, Internet Bot dan Dunia Online

Secara kita sedar atau tidak, terlalu banyak perubahan telah berlaku di dalam dunia internet melalui inovasi perhubungan secara online. Antara yang utama adalah arena blogging yang semakin diminati ramai dan kehadiran internet robot di dalam dunia online ini.

Di zaman IT yang serba canggih secara tidak langsung ramai bakat-bakat baru di bidang penulisan blog mula muncul dengan adanya medium seperti Wordpress dan Google Blogspot. Tidak kira sama penulisan berbentuk percakapan harian atau yang lebih mementingkan penyampaian bahasa yang kemas dan mantap. Bak kata seorang kenalan saya, penulisan blog ini umpama genre baru di dalam bidang penulisan tanah air.

Penulisan blog memberi kita kepuasan dan kebebasan berkarya, dan kalau anda teliti meninjau blog-blog yang ada, pelbagai jenis isi dan penyampaian yang akan anda temui – sama ada koleksi gambar-gambar persendirian, lagu-lagu terhangat masa kini, dan bermacam-macam perkara yang sedikit sebanyak mencerminkan minat pemblog itu sendiri. Malah blog juga telah menjadi medan usahawan online mempromosi barangan atau perkhidmatan mereka tanpa kos yang membebankan.

Dengan adanya pelbagai kemudahan untuk memanjangkan jaringan sosial (social networking) dan pelbagai widget (perkakasan maya atau "virtual gadget" seperti java script, follower, stat counter dan visitor map) maklum balas secara terkini akan respons kepada maklumat yang dipersembahkan kepada umum menambahkan kehangatan berblog untuk menepati citarasa para pengunjung.

Di dalam dunia era digital ini maklumat adalah terkini di hujung jari dengan hanya memerlukan komputer, modem dan talian internet. Segala yang berlaku di seluruh dunia boleh anda ketahui dengan sekelip mata dengan memilih kata-kata kunci yang betul dan tepat dalam bahasa yang dikehendaki. Namun begitu dengan lambakan maklumat yang ada, kita perlu bijak dan berhati-hati dalam memilih maklumat yang tepat dan tidak terkambus di dalam timbunan maklumat yang mengelirukan.

Dengan kecanggihan teknologi dunia digital ini juga ramai juga insan-insan yang mengambil kesempatan yang ada untuk menipu dan memperdaya mangsa mereka secara online. Mungkin ramai di antara anda yang menggunakan kemudahan e-mail tidak terkecuali daripada mendapat e-mail berupa tawaran lumayan cabutan bertuah bernilai berjuta-juta dollar atau pound sterling, atau mungkin email bernada sayu memohon bantuan untuk mangsa peperangan dan sebagainya. Anda perlu bijak mengkaji daripada penggunaan bahasa, kewujudan dan kesahihan badan-badan yang menganjurkan, malah memastikan alamat dan nombor telefon yang digunakan adalah benar-benar wujud dan bukan sekadar untuk mengaburi mata anda. Begitu juga dengan pelbagai email dari bank, anda harus berhati-hati kerana ada yang menyamar dengan logo yang serupa. Cara terbaik adalah menghubungi bank anda dan memastikan kesahihan e-mail tersebut sebelum kehilangan wang anda secara online.

Di zaman ini juga terdapat pelbagai spiderbot, webbot atau netbot yang merupakan "pekerja-pekerja" yang bekerja keras mengunjungi setiap pelusuk dan ceruk dunia cyber ini untuk tujuan-tujuan tertentu. Anda jangan terkejut jika kerja-kerja pencarian, pengumpulan data dan penghantaran email dilakukan oleh komputer melalui buruh yang tidak kenal penat-lelah bernama Bot ini. Banyak kelebihan kemajuan teknologi ini seperti penentuan pagerank anda, pencarian laman-laman web berdasarkan kata-kata kunci yang anda berikan di dalam search engine seperti Yahoo, Google dan MSN, dan pelbagai fungsi lagi. Namun ada juga yang menyalah-gunakannnya dengan membuat posting ke pelbagai tempat secara otomatik atau menghantar email berbentuk spam (yang merupakan satu perbuatan yang tidak beretika walaupun agak berat untuk dikategorikan sebagai jenayah) dengan pencarian laman yang menyediakan alamat email untuk berhubung dengan pengunjungnya. Tidak hairanlah jika kita terpaksa memasukkan maklumat tambahan berbentuk karakter-karakter secara rawak sebelum dapat menghantar email kepada seseorang di internet, yang merupakan taktik yang tidak boleh dicerobohi oleh bot-bot internet ini (setakat ini...).

Internet dan dunia digital adalah sebuah alam maya yang sentiasa berubah dan berlegar dengan inovasi-inovasi baru. Kita perlu prihatin dan sentiasa mengambil tahu perkembangan terbaru, bukan setakat untuk menambahkan keseronokan dan kemudahan berhubungan di internet, tetapi juga untuk mengelakkan diri kita dari menjadi mangsa mereka yang ingin mengambil kesempatan dengan perkembangan teknologi online yang terbaru.
Anda boleh dapatkan tip-tip penjagaan komputer anda dari pelbagai ancaman dan tip-tip penjagaan khas laptop anda di dalam segmen Komputer dan Internet

Saturday, June 27, 2009

Pemergian Michael Jackson, Kehilangan Seorang Raja Pop

Artikel ini telah dikemaskini pada 21 Ogos 2009 dengan maklumat terbaru berkaitan dengan peristiwa-peristiwa terkini yang berlaku ekoran kematian Michael Jackson.



Seluruh dunia digemparkan dengan berita kematian Michael Jackson pada awal pagi 25 Jun 2009 (waktu Malaysia). Berita yang sukar dipercayai dan menjadi tanda tanya ramai pihak ini memberi kesan kepada semua peminat beliau di seluruh dunia. Laporan menunjukkan kematian mengejut Michael Jackson pada usia 50 tahun adalah disebabkan oleh sakit jantung walaupun punca utama kematian beliau masih belum dapat dikenal pasti. Sumber-sumber memberitahu bahawa keadaan kesihatan bintang tersebut telah mula dipersoalkan semenjak beberapa tahun yang lepas.

Ada sumber menyatakan bahawa Michael Jackson atau Mikaeel Jibril (nama selepas keislaman beliau, sebagaimana yang dinyatakan oleh abang beliau Jermaine Jackson dalam satu sidang media selepas kematian beliau) telah memeluk Islam semenjak 21 Ogos 2008 lagi.
Kareer Michael Jackson telah bermula semenjak beliau masih kanak-kanak dan memuncak di dalam tahun 1980an dan 1990an. Beliau telah dilanda pelbagai pergolakan termasuk pelbagai tuduhan paedofilia dan krisis kewangan menjelang akhir hayat beliau.

Kehidupan Michael Jackson


Penglibatan awal
Nama beliau mula meniti di bibir peminat seni apabila nama Jackson 5 (kemudiannya ditukar menjadi The Jacksons) mula melonjak naik dalam dengan lagu-lagu hits seperti ABC dan I Want You Back pada akhir tahun 60’an dan di awal 70’an. Michael Jackson menjadi penulis utama lagu untuk kumpulan The Jacksons dari 1976 hingga 1984 dengan lagu-lagu seperti Shake Your Body (Down to the ground) dan Can You Feel It.

Kareer Michael Jackson di bidang teater muzikal bermula dalam tahun 1978 apabila beliau muncul dengan watak Scarecrow dalam The Wiz, sebuah adaptasi dari cerita kanak-kanak Wizard of Oz.

Kareer solo


Selepas bersama kumpulan adik-beradiknya The Jacksons, Michael Jackson memulakan kareer solonya dengan album pertama beliau dalam tahun 1979, Off The Wall. Dengan reputasi dari kumpulan The Jacksons, Michael mula diminati sebagai penyanyi solo dan lagu-lagu beliau telah melonjak dalam carta Billboard dan telah meraih pelbagai anugerah dari American Music Award dan Billboard Music Award dan Grammy Award.

Kemuncak kareer Michael Jackson sebagai artis solo adalah dalam tahun 1980’an dengan pelbagai album dan lagu-lagu popular seperti Beat It, Thriller dan Billy Jean. Dalam tahun 1983 beliau telah memperkenalkan gerak tarian signaturenya Moonwalk dan telah menjadi ikutan generasi pada masa itu malah menjadi salah satu ikutan untuk koreografi tarian.

Michael Jackson telah terlibat dalam pelbagai kemalangan yang melibatkan tubuh badannya. Antaranya adalah insiden patah hidung semasa sebuah rutin tarian yang rumit dalam tahun 1979 selepas pelancaran album solonya yang pertama mengakibatkan beliau terpaksa menjalani pembedahan rhinoplasty yang menandakan permulaan komplikasi pada wajah beliau. Kemudian dalam tahun 1984 beliau mengalami kemalangan pyroteknik mengakibatkan kecederaan kulit beliau yang terbakar hingga tahap kedua (second degree burning). Selepas itu bermulah pelbagai kontroversi yang ditimbulkan dalam hidup beliau berikutan pembedahan plastik yang dijalani beliau.

Michael Jackson juga ada berkolaborasi dalam karya seni beliau bersama artis-artis lain. Contohnya lagu We Are The World yang ditulis bersama penyanyi Lionel Richie sempena kempen bantuan kemiskinan untuk rakyant Amerika dan Afrika. Begitu juga dengan lagu-lagu The Girl Is Mine dan Say Say Say, beliau telah digandingkan dengan penyanyi Paul McCartney, bekas anggota kumpulan The Beatles.

Dalam pertengahan tahun 1980’an, Michael Jackson disahkan mengidap penyakit Vitiligo (disebut sebagai vitilaigo) dan Lupus. Vilitigo adalah sejenis penyakit di mana tompokan putih muncul pada kulit diseluruh badan disebabkan sel yang menghasilkan pigmen kulit telah rosak. Lupus pula adalah sejenis kerosakan dalam sistem imunasi tubuh di mana ia menyerang sel dan tisu tubuh yang sihat, bukannya anasir luar yang boleh merosakan kesihatan. (Sumber : Niams.nih.gov). Akibatnya Michael Jackson dilaporkan sebagai sensitif kepada pancaran matahari.


Setelah 5 tahun menyepi tanpa sebarang album baru, Michael Jackson telah muncul dengan album Bad dalam tahun 1987.

Filem Moonwalker telah menyusul dalam tahun 1988 di mana beliau telah membintangi filem tersebut bersama Joe Pesci dengan lagu hit Smooth Criminal dan tarian signature "Anti-Gravity Lean" beliau yang menjadi kegilaan golongan remaja dan koreografer pada masa itu. Ada pendapat mengatakan bahawa filem ini secara simbolik memaparkan Michael Jackson sebagai sebagai pejuang ke atas keganasan dan penindasan terhadap kanak-kanak di mana dalam filem tersebut Michael menyelamatkan 3 orang kanak-kanak dari seorang penjenayah bernama Mr.Big (lakonan Joe Pesci) yang ingin menjadikan semua kanak-kanak di dunia sebagai penagih dadah. Filem tersebut telah menjadi inspirasi untuk dijadikan permainan video Sega dalam tahun 1990 yang dihasilkan bersama oleh Michael Jackson sendiri. Di dalam permainan video tersebut monyet peliharaan Michael Jackson bernama Bubbles turut diketengahkan sebagai watak sampingan.



Kemuncak kejayaan
Michael Jackson telah membina mahligai idamannya ala Disneyland yang dinamakan Neverland Ranch di Santa Ynez, California. Tanah seluas 2.7 ribu ekar tersebut telah dibeli dalam tahun 1988 dengan harga US$17 ribu. Kejayaan Michael Jackson telah membawa kepada nama jolokan Raja Pop yang dinobatkan oleh Elizabeth Taylor semasa menyampaikan anugerah Artist of The Decade dalam tahun 1989. Di antara tahun 1985 hingga 1990, Michael Jackson telah mendermakan sebanyak US$500 ribu kepada United Negro College Fund dan seluruh hasil keuntungan dari album Man in the Mirror telah disumbangkan sebagai derma.


Album Dangerous telah dikeluarkan dalam tahun 1991 dengan lagu-lagu hits seperti Black or White, Dangerous, In The Closet, Who Is It, Remember The Time, Jam dan Heal The World. Dalam tahun 1992, Michael Jackson telah mengasaskan Heal The World Foundation di mana kanak-kanak dari golongan miskin telah dibawa ke Taman Tema Neverland Ranch di kediaman beliau untuk bergembira. Jutaan dollar juga dihantar ke merata dunia bagi membantu kanak-kanak yang diancam peperangan dan wabak penyakit.

Pergolakan hidup

Michael Jackson secara terbuka di dalam temuramah bersama Oprah Winfrey membuat pengakuan dirinya sebagai mangsa penderaan ayahnya semasa kecil, yang mana menurut beliau memberi kesan kepada cara penghidupannya. Beliau telah dilibatkan dengan penderaan seksual dan pencabulan ke atas kanak-kanak dengan tuduhan oleh seorang bapa kanak-kanak berusia 13 tahun bernama Jordan Chandler di dalam tahun 1993. Tuduhan tersebut telah membawa kepada beberapa peristiwa termasuk tindakan pihak berkuasa menggeledah kediaman beliau untuk mencari bukti bagi kes paedofilia yang disabitkan dengan beliau, dan peristiwa beliau diarahkan berbogel untuk "strip search" oleh pihak berkenaan. Ekoran peristiwa tersebut beliau telah membuat kenyataan media menerangkan kejadian tersebut.

Michael Jackson telah mengahwini anak mendiang Elvis Presley, Lisa Marie Presley dalam tahun 1994. Lisa Marie banyak memberi sokongan moral semasa Michael Jackson dilanda kes tuduhan paedofilia dalam tahun sebelumnya kerana khuatir akan kesihatan dan penglibatan Michael dengan dadah akibat tekanan tersebut. Bagaimanapun perkahwinan mereka hanya dapat bertahan tidak sampai dua tahun, namun mereka masih berhubungan sebagai kawan.


Albun HIStory telah dilancarkan dalam tahun 1995 dengan sebual lagu duet Scream bersama adiknya Janet Jackson. Semasa HIStory World Tour dalam tahun 1996 hingga 1997, Michael Jackson telah menjelajahi 58 bandaraya, 35 negara dan 5 benua untuk bertemu dengan 4.5 juta peminat beliau. Ekoran dari World Tour tersebut, Michael telah bertemu semula dengan seorang jururawat khusus dalam bidang kulit bernama Deborah Jeanne Rowe. Deborah telah menjadi kenalannya semenjak pertengahan tahun 1980’an lagi semasa Deborah menjadi jururawat penyakit vetiligo. Deborah banyak memberi sokongan moral kepada Michael di dalam menghadapi kemelut kehidupannya.
Hasil dari perkahwinan tersebut Michael dan Deborah telah dikurniakan sepasang cahayamata Michael Joseph Jackson Junior (juga dikenali sebagai Prince Michael I) dan Paris Michael Katherine Jackson. Pasangan tersebut bagaimanapun telah berpisah dalam tahun 1999 dan Deborah telah memberi hak penjagaan sepenuhnya ke atas anak-anak mereka kepada Michael.

Michael Jackson telah disenaraikan di dalam Guinness World Records sebagai personaliti yang telah menyumbang kepada bilangan badan derma yang terbanyak iaitu 39 kesemuanya.
Setelah pelbagai kontroversi di antara Michael dan Sony Music Entertainment, akhirnya album terakhir beliau bertajuk Invincible telah dapat dikeluarkan dalam tahun 2001 menandakan 30 tahun beliau telah bertapak sebagai artis solo.

Dalam pada itu seorang lagi anak Michael Jackson yang dikenali sebagai Prince Michael II (juga mendapat nama jolokan The Blanket) telah dilahirkan dalam tahun 2002 melalui seorang ibu tumpang yang tidak diumumkan identitinya.

Dalam tahun 2003, Michael Jackson dikaitkan dengan satu lagi tuduhan paedofilia oleh seorang kanak-kanak berusia 13 tahun ketika itu bernama Gavin Arvizo. Perbicaraan berkenaan tuduhan paedofilia tersebut bermula dua tahun kemudian, bagaimanapun Michael didapati tidak bersalah pada bulan Jun 2005. Selepas kes tersebut Michael Jackson telah dipindahkan ke sebuah pulau di Teluk Parsi sebagai tetamu kepada Shaikh Abdullah di Bahrain.

Krisis kewangan


Ekoran dari masalah kewangan yang melanda Michael Jackson, rumah utama beliau di Neverland Ranch terpaksa ditutup. Antara isu utama krisis kewangan yang melanda Michael adalah sebuah pinjaman berjumlah US$270 juta dari Bank of America.

Desas-desus Michael Jackson telah memeluk Islam

Ianya bermula dalam bulan November 2008 apabila akhbar tabloid di Britain menyebarkan berita keislaman Michael Jackson di rumah Steve Porcaro seorang pemain keyboard (yang juga dikatakan telah memeluk Islam dan menjadi seorang muslim). Michael Jackson dilaporkan telah mengucapkan syahadah dengan disaksikan oleh seorang imam dari sebuah masjid berdekatan. Michael Jackson dikatakan telah tertarik untuk menjadi seorang muslim apabila mendengar penerangan dari seorang penulis lagu Kanada bernama David Wharnsby (nama Islam Dawud Wharnsby Ali) dan seorang penerbilt bernama Phillip Bubai (nama Islam Idris Phillips)
Yusuf Islam (nama asalnya Cat Stevens) dilaporkan telah memberikan nama Islam Michael Jackson sebagai Mikaeel Jibril (sumber: Pakkalocal.com)

Berita-berita ini bagaimanapun tidak disahkan oleh Michael Jackson sendiri dan ada juga sumber mengatakan beliau telah memeluk Islam sebelum itu lagi pada awal tahun 2007 berikutan satu kenyataan oleh abang beliau Jermaine Jackson (yang juga telah memeluk Islam dengan nama Muhammad Abdul Aziz).

Pada tahun 1989 semasa satu sidang media, Michael Jackson pernah membuat kenyataan tentang kecenderungannya untuk memeluk Islam yang menggemparkan dunia iaitu "I have seen the Islam in the life of my brother, I have read the books about Islam. And I'd love to someday feel the calmness and peace of Islam.... " (Sumber: wikio.co.uk)


Menjelang akhir hayat Michael Jackson


Ekoran penutupan Neverland Ranch berkaitan dengan pinjaman yang tidak dijelaskan oleh Michael Jackson, Fortress Investments telah memindahmilik pinjaman tersebut kepada Colony Capital LLC. Dalam bulan November 2008, hakmilik Neverland Ranch telah dipindahkan kepada Sycamore Valley Ranch Company LLC, dan hasil dari penjualan itu, Michael telah mendapat US$35 juta.

Michael Jackson telah merancang untuk mengadakan konsert di O2 Arena, London dari 13 Julai 2009 hingga 6 Mac 2010. Dalam satu sidang media, Michael juga telah memberi tanda bahawa beliau mungkin akan bersara dari kareer beliau.


Pada 25 Jun 2009, Michael Jackson telah tidak sedarkan diri di North Carolwood Drive, Los Angeles. Usaha untuk menyedarkan beliau dengan pernafasan artifisial oleh seorang pakar perubatan peribadi telah tidak berhasil. Paramedik dari Jabatan Bomba Los Angeles telah tiba selepas menerima panggilan kecemasan 911 dan beliau telah dikejarkan ke UCLA Medical Center. Pelbagai usaha untuk menyedarkan beliau dengan CPR dan pernafasan artifisial masih juga tidak berhasil. Akhirnya pada jam 2.26 petang waktu tempatan (5.26 pagi waktu Malaysia) Michael Jackson disahkan telah meninggal dunia. Beliau meninggalkan tiga orang anak - Prince Michael Junior I, Paris Michael Katherine dan Prince Michael Junior II.

Kesihatan Michael Jackson

Seorang kenalan Michael Jackson semenjak 40 tahun lalu, J. Randy Taraborrelli (Randy), memberitahu bahawa beliau kelihatan lemah dan mempunyai berat badan yang terlalu rendah daripada sepatutnya. Randy juga menyifatkan Michael sebagai sukar membuang ketagihan kepada ubat penahan sakit, walaupun beliau berjaya mengatasi masalah tersebut beberapa kali. Penyalahgunaan ubat yang disarankan oleh doktor juga disahkan oleh pakar dermatologi beliau, Arnold Klein (Arnold). Namun begitu menurut Arnold lagi, Michael berada di dalam keadaan yang fizikal yang baik dan ceria tiga hari sebelum kematian beliau.



Sekitar siasatan kes kematian

Terdapat laporan mengatakan Michael Jackson disuntik dengan Demerol (sejenis ubat penahan sakit yang digunakan oleh Michael semenjak 20 tahun yang lalu) pada jam 11.30 pagi itu, dan doktor (physician) peribadi beliau, Dr Conrad Murray membuat kenyataan bahawa suntikan tersebut bukan diarahkan atau dibuat olehnya. Laporan tersebut bagaimanapun tidak disahkan. Dr Conrad Murray juga adalah orang yang menemui Michael dalam keadaan tidak bernafas dengan denyutan nadi yang lemah dan memberikan rawatan CPR kepada beliau.

Sijil kematian Michael Jackson tidak menyatakan punca kematian. Bertentangan dengan itu, terdapat sumber (yang terlibat di dalam penyiasatan tersebut) memberitahu bahawa terdapat pelbagai tanda pada lengan beliau menunjukkan penggunaan dadah suntikan yang berterusan.

Autopsi telah dijalankan ke atas tubuh Michael di mana otak beliau telah disimpan dan digunakan dalam ujian toksikologi untuk mendapatkan bukti berkenaan punca sebenar kematian beliau. Tubuh beliau (tanpa otak) telah diserahkan kepada ahli keluarga beliau untuk dikebumian.

Semua rekod perubatan daripada doktor-doktor yang pernah merawat Michael Jackson telah disepina olen Polis Los Angeles (LAPD) bagi tujuan siasatan. Menurut Ketua Polis Los Angeles, fokus penyiasatan ini adalah dalam menentukan kes ini sebagai kes pembunuhan (homicide) atau kematian akibat terlebih dos (accidental overdose), tetapi keputusan ujian toksikologi dari koroner (yang masih belum diperolehi semasa artikel ini ditulis) adalah amat penting di dalam penyiasatan kes ini. Namun begitu terdapat sumber dari bahagian penguatkuasaan undang-undang yang menyatakan bahawa agak sukar untuk menyabit sebarang tuduhan sekiranya kes ini disabitkan sebagai kes pembunuhan, kerana penyalah-gunaan dadah oleh Michael telah didokumentasi dengan baik dan boleh menyukarkan usaha pihak pendakwaraya. Terdapat pelbagai jenis anestetik, ubat penahan sakit, anxiolytic dan anti-depressant yang dipercayai telah digunakan oleh Michael termasuk propofol (Deprivan), Demerol, Oxycodone (OxyContin), Xanax dan Zoloft dan sebahagian daripada dadah tersebut telah dipreskripsikan atas nama-nama samaran Michael.

Menurut Dr. Deepak Chopra, seorang internist dan pakar endokrinologi juga kenalan Michael Jackson semenjak 20 tahun yang lalu, Michael mungkin boleh diselamatkan dengan naloxone, sejenis dadah yang boleh bertindakbalas terhadap lebihan dos dadah (opioid overdose)

Menurut sumber dari bahagian penyiasatan, beberapa botol berisi propofol (Diprivan) telah ditemui di kediaman Michael. Propofol yang diberi nama jolokan "milk of amnesia" (kerana rupanya yang seakan susu) ialah sejenis anestetik yang digunakan di hospital untuk pesakit yang akan menghadapi pembedahan, yang bertindak pantas dan membolehkan pesakit sedar (selepas pembedahan) dengan rasa segar. Bagaimanapun penggunaannya perlu dipantau secara berterusan kerana boleh mengakibatkan masalah termasuk serangan jantung. Menurut sumber lain, penggunaan ubat seperti ini semakin berleluasa kerana ia boleh menghilangkan kesakitan, rasa cemas dan stres dengan berkesan.



Reaksi selepas berita kematian

Kematian Michael Jackson telah menyebabkan respons yang luarbiasa daripada peminat-peminat beliau di seluruh dunia. Penggunaan internet dan penjualan muzik beliau telah naik secara mendadak sebaik sahaja berita kematian beliau tersebar ke seluruh dunia. Lagu-lagu beliau telah dimainkan di radio dan TV tanpa henti termasuk di MTV, manakala berita kematian beliau telah dipaparkan di muka depan akhbar-akhbar selama beberapa hari berturut-turut termasuk akhbar tabloid british, The Sun, dan menjadi tajuk utama berita di TV termasuk ABC, CBS dan NBC.

Penjualan muzik Michael Jackson telah meningkat hingga 80 kali ganda selepas kematian beliau (menurut statistik HMV) dan ada yang sehingga habis jualan (Amazon), mengatasi rekod jualan Elvis Presley dan John Lennon selepas kematian mengejut mereka. Lagu-lagu dan album beliau telah mendapat tempat di dalam carta lagu-lagu paling popular di seluruh dunia termasuk Amerika, Jepun, Australia, Poland, Jerman, New Zealand dan Eropah. Di Amerika, lagu-lagu beliau telah dijual secara muat turun sebanyak 2.6 juta kali, menjadikan beliau artis pertama yang berjaya menjual lebih sejuta muat turun dalam masa seminggu.


Ucapan Takziah dan Penghormatan

Lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan peminat-peminatnya meratapi kematian beliau termasuk di Hollywood Walk of Fame, UCLA Medical Center, kediaman beliau di Holmby Hills, Apollo Theater di New York, dan pelbagai lokasi di seluruh pelusuk dunia.

Antara tokoh-tokoh yang menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Jackson adalah Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, Nelson Mandella dan Perdana Menteri Jepun, Taro Aso.

Datuk Bandar Rio De Janeiro mengumumkan bahawa sebuah patung Michael Jackson akan dibina di Dona Marta. Madonna (penyanyi sensasi Amerika) membuat satu persembahan khas sebagai memperingati kematian Michael semasa konsertnya "Sticky and Sweet" di O2 London Arena. Sebuah lagu khas untuk Michael, gandingan The Game, Chris Brown, Diddy, Polow Da Don, Mario Winans, Usher dan Boyz II Men berjudul "Better on the Other Side". Antara kata-kata di dalam lagu tersebut adalah:

"You were the one that showed us we can moonwalk,
You gave us the beat,
You gave us the rhythm,
You gave us the soul."

(Kata-kata Diddy dalam lagu "Better on the Other Side")

Di Indiana, sebuah persembahan khas diadakan dengan kata-kata oleh seorang rakan Michael Jackson, Rev. Jesse Jackson:
"This is where Michael learned to dance, where he learned to sing, where he learned to sacrifice."

Kakak Michael Jackson, La Toya, merakamkan sebuah lagu "Home" di mana hasil jualannya akan disumbangkan kepada badan derma yang sering disumbangkan oleh adiknya.


Majlis Penghormatan Terakhir (Memorial Service)

Majlis penghormatan terakhir Michael Jackson telah diadakan di Staples Center, Los Angeles pada 7 Julai 2009, tempat di mana beliau telah mengadakan raptai untuk konsert O2 London Arena, 2 hari sebelum kematian beliau. Upacara tersebut telah disiarkan secara langsung ke seluruh dunia, di saksikan oleh lebih kurang satu billion penonton. Sebelum majlis tersebut, sebuah upacara tertutup telah diadakan untuk kaum keluarga dan kenalan-kenalan rapat beliau di Forest Lawn - sebuah tanah perkuburan di Hollywood Hills (Los Angeles).

Semasa majlis di Staples Center tersebut, sebuah keranda emas 14-karat dialas dengan baldu biru telah diletakkan di tengah-tengah pentas. Sebagai penghormatan kepada beliau, abang-abang Michael Jackson telah memakai sarung tangan putih yang bergemerlapan. Antara selebriti yang hadir dan menjayakan majlis tersebut adalah Stevie Wonder, Lionel Richie, Jermaine Jackson, Berry Gordy, Smokey Robinson, Mariah Carey, Magic Johnson, Jennifer Hudson, Rev. Jesse Jackson, John Mayer, Brooke Shields, Martin Luther King III dan Usher.

Queen Latifah telah membaca sebuah sajak yang didedikasi untuk Michael oleh Maya Angelou bertajuk "We had him". Antara bai-bait sajak tersebut adalah:

"Beloveds, now we know that we know nothing, now that our bright and shining star can slip away from our fingertips like a puff of summer wind.

Without notice, our dear love can escape our doting embrace. Sing our songs among the stars and walk our dances across the face of the moon.

In the instant that Michael is gone, we know nothing. No clocks can tell time. No oceans can rush our tides with the abrupt absence of our treasure.

Though we are many, each of us is achingly alone, piercingly alone.

...He came to us from the creator, trailing creativity in abundance.

Despite the anguish, his life was sheathed in mother love, family love, and survived and did more than that.

He thrived with passion and compassion, humor and style. We had him whether we know who he was or did not know, he was ours and we were his.

We had him, beautiful, delighting our eyes.

His hat, aslant over his brow, and took a pose on his toes for all of us.

And we laughed and stomped our feet for him.

We were enchanted with his passion because he held nothing. He gave us all he had been given..."


(Sebahagian daripada sajak "We had him" - Maya Angelou)

Kata-kata eulogi Rev. Al Sharpton telah mendapat penghormatan istimewa para hadirin. antara kata-katanya:

"All over the world today people have gathered in love to celebrate the life of a man that taught the world how to love. People may be wondering why there’s such an emotional outburst, but you would have to understand the journey of Michael to understand what he meant to all of us. For those that sit here with the Jackson family, a mother and father with nine children that rose from a working class family in Gary, Indiana, they had nothing but a dream. No one believed in those days that these kinds of dreams could come true, but they kept on believing and Michael never let the world turn him around from his dreams...

It was Michael Jackson that brought Blacks and Whites and Asians, and Latinos together. It was Michael Jackson that made us sing ‘We are the World’ and ‘feed the hungry’ long before Live Aid. Because Michael Jackson kept going, he created a comfort level where people that felt they were separate became interconnected with his music and it was that comfort level that kids from Japan and Ghana and France and Iowa, and Pennsylvania got comfortable enough with each other..."


Reverend Al Sharpton telah menerima penghormatan berdiri daripada para hadirin dengan kata-kata yang ditujukan kepada anak-anak Michael iaitu "Wasn't nothing strange about your daddy. It was strange what your daddy had to deal with."

Semasa majlis tersebut juga, satu-satunya anak perempuan Michael, Paris Katherine tidak dapat membendung kesedihan di atas pentas dan memberitahu para hadirin, "I just want to say that ever since I was born, daddy has been the best father you could ever imagine ... and I just want to say that I love him so much..."

Sepanjang majlis tersebut, imej dan video Michael Jackson dipaparkan di skrin pentas dan muzik beliau menjadi muzik latar.

Terdapat sumber mengatakan bahawa kakak Michael Jackson, La Toya, ingin melihat adiknya dikebumikan dengan sarong tangan bertatah kristal swarovski rekaan Dorothy dari Gaspar Gloves.

Terdapat sumber menyatakan bahawa jenazah Michael Jackson (atau Mikaeel Jibril) akan dikebumikan secara Islam di Neverland dan abangnya Jermaine Jackson (Muhammad Abdul Aziz) memainkan peranan untuk menguruskan jenazah beliau.




Wasiat dan keluarga

Setakat ini, penjagaan anak-anak Michael Jackson iaitu Michael Joseph "Prince" Jackson Jr. (1997), Paris-Michael Katherine Jackson (1998) dan Prince Michael Jackson II @ "Blanket" (2002) diserahkan kepada ibu beliau, Katherine Jackson

Menurut wasiat Michael Jackson, seluruh aset beliau diserahkan kepada Tabung Amanah Keluarga Michael Jackson

Terdapat sumber mengatakan bahawa ibu Michael, Katherine Jackson akan mendapat 40% daripada aset kepunyaan Michael manakala anak-anak beliau akan mendapat 40% da selebihnya akan diserahkan kepada pelbagai badan derma kanak-kanak yang belum ditetapkan lagi. (Sumber: TMZ)

Ekoran kematian Michael Jackson, pelbagai pengakuan sebagai bapa sebenar, sama ada secara biologi atau melalui pendermaan sperma telah dibuat. Ini termasuk bekas pakar dermatologi Michael, Dr. Arnold Klein yang mengaku bahawa dia merupakan bapa kepada anak sulung dan anak perempuan Michael. Dr Arnold Klein adalah juga majikan kepada Deborah Rowe, ibu kepada kedua-dua kanak-kanak tersebut.

Satu lagi pengakuan telah dibuat oleh Mark Lester yang membuat kenyataan sebagai telah mendermakan spermanya secara rahsia kepada Michael Jackson. Sebagai bukti beliau membandingkan wajah Paris dan anak beliau sendiri, Harriet yang dikatakan seiras. Sebagai membuktikan kebenaran kata-katanya, beliau (Mark Lester) sanggup menjalani ujian DNA.

Walaubagaimanapun Tito, abang kepada Michael Jackson menyangkal semua pengakuan itu dengan membuat kenyataan akhbar bahawa mata anak-anak Michael adalah seiras mata beliau (Michael).

Sumber: Wikipedia

Sunday, June 21, 2009

Kedatangan Bulan Rejab

Tanpa kita sedari kita telah berada di ambang Bulan Rejab dalam kalendar Islam yang akan tiba pada 24 Jun 2009 iaitu pada hari Rabu ini. Ketibaan Rejab menandakan kita akan menempuh bulan Syaaban terlebih dahulu sebelum mula berpuasa di dalam bulan Ramadhan.

Bulan Rejab seakan-akan telah sinonim dengan sambutan Israk dan Mikraj di mana Rasulullah s.a.w telah menempuh perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa sebelum bertemu dengan Allah s.w.t. Perisitiwa Israk Mikraj menandakan bermulanya ibadah solat atau sembahyang yang merupakan anugerah buat kita umat akhir zaman sebagai pengikut Rasulullah s.a.w.


Tahukan anda mengapa Rejab dipanggil bulan haram di samping tiga bulan yang lain? Tahukan anda apakah peristiwa yang telah berlaku di dalam bulan Rejab? Apakah kelebihan bulan Rejab dan apakah amalan-amalan yang disyorkan untuk kita lakukan di dalam bulan ini? Tahukan anda turutan peristiwa yang berlaku semasa Israk Mikraj ke atas Baginda Rasulullah s.a.w? Apakah bayangan-bayangan simbolik yang dipertontonkan kepada Baginda, dan bagaimanakah kisah solat 50 waktu yang dianugerahkan kepada kita diturunkan menjadi 5 waktu? Semua soalan-soalan ini insya'Allah akan terjawab jika anda pergi ke laman Agama untuk mengetahui lebih lanjut tentang Bulan Rejab. Selamat membaca...

Wednesday, June 10, 2009

Sambutan Hari Bapa

Jika di dalam bulan Mei kita menyambut hari untuk menghargai para ibu dan para guru, di dalam bulan Jun adalah masa untuk menunjukkan penghargaan kita kepada kaum bapa pula. Tarikhnya adalah 21 Jun 2009 dan jatuh pada hari Ahad. Seperti Hari Ibu dan Hari Guru, anda disajikan dengan beberapa tips dan idea untuk meraikan hari tersebut, untuk Hari Bapa disediakan beberapa cara untuk meraikannya bersama insan yang anda sayangi dan hormati ini.

Tidak kira apa panggilan yang anda beri sama ada ayah, abah, daddy, papa, bapak atau ayahanda sekalipun, Hari Bapa adalah peluang untuk anda melahirkan penghargaan anda kepada mereka. Ada beberapa cara untuk anda menyambut hari tersebut bersama bapa anda.

1. Anda boleh masakkan hidangan istimewa untuk bapa anda pada hari tersebut. Jika anda inginkan kelainan dari hidangan biasa, anda boleh cuba resepi pizza dan donut di dalam segmen Resepi dan Masakan.

2. Anda boleh buat sebuah scrapbook atau buku skrap untuk dihadiahkan kepada bapa anda. Scrapbook adalah sebuah album yang dihasilkan sendiri dengan pelbagai maklumat termasuk gambar foto, nota dan apa juga perkara yang digunakan untuk memperingati sesuatu perkara atau peristiwa. Anda boleh kumpulkan pelbagai memori dan perkara yang berkaitan dengan bapa anda untuk tatapannya sebagai tanda penghargaan anda. Perkara-perkara yang boleh anda kumpulkan di dalam scrapbook anda termasuk sajak, kenangan lucu, sedih dan gembira (bergambar atau coretan), dan ucapan dari setiap ahli keluarga. Untuk maklumat lanjut tentang scrapbook, anda boleh baca di dalam artikel Membuat buku skrap di dalam segmen Seni dan Kraf.


3. Sekiranya anda tidak ada masa untuk membuat scrapbook untuk bapa anda, anda boleh hasilkan sebuah kad pop up. Kad pop-up memberi sedikit kelainan dari kad biasa kerana ia ada unsur 3D apabila kad tersebut dibuka. Terdapat pelbagai jenis kad pop up, dan jika anda ingin hsilkan sesuatu yang ringkas, anda boleh cuba teknik kad pop-up di dalam segmen Seni dan Kraf

4. Pada hari tersebut, anda boleh bawa bapa anda untuk berehat bersama keluarga anda. Anda boleh membawa bapa anda untuk pergi berkelah atau menjalankan aktiviti kegemarannya seperti bermain go-kart atau memancing.

5. Anda boleh hadiahkan sebuah "keratan akhbar tiruan" yang menceritakan kehebatan dan pengorbanan seorang insan yang bernama bapa anda beserta gambarnya sekali dan diabadikan di dalam sebuah bingkai gambar. Anda boleh dapatkan gambaran idea ini di laman In The Paper.


6. Anda boleh hadiahkan sesuatu dengan kata-kata istimewa untuk bapa anda seperti sebuah kole (mug), t-shirt, topi, alatulis, alat organizer meja atau beg. Jika anda boleh berbelanja lebih, anda boleh hadiahkan barangan pewter dengan ukiran kata-kata khas untuk bapa anda berupa pen, jam atau bingkai gambar

7. Jika mengambil dan menyimpan koleksi video keluarga telah menjadi aktiviti keluarga anda, anda boleh sunting klip-klip video yang melibatkan bapa anda atau yang sesuai untuk dijadikan koleksi sempena Hari Bapa di dalam bentuk CD atau DVD, beserta klip-klip tambahan seperti deklamasi sajak, ucapan ceria atau sentimental daripada setiap ahli keluarga anda dan beramai-ramai. Hasilnya tentu menjadi kenangan berpanjangan apabila dimainkan berkali-kali di pemain CD atau DVD anda untuk tayangan di kaca TV.

8. Anda boleh selidik apakah minat istimewa bapa anda dan berikan hadiah yang bersesuaian dengan minat atau hobi masa lapangnya. Contohnya jika bapa anda gemar memancing, anda boleh hadiahkan sebuah buku tentang teknik-teknik memancing.
Anda boleh pergi ke laman Gifts.com untuk mendapat gambaran hadiah yang sesuai dengan personaliti bapa anda