SELAMAT DATANG

Sunday, May 24, 2009

Ayat Seribu Dinar dan janji untuk kekayaan?


Tentu ramai mereka yang beragama Islam terutamanya para peniaga telah sedia maklum khaifiyat atau kelebihan ayat ini. Ayat 2 dan 3 dari surah At-Talaq ini memang mendalam maksudnya jika diteliti. Secara umumnya ayat ini kita kaitkan sebagai tangkal pelaris perniagaan, amalan memudah atau memurahkan rezeki, tak kurang juga dengan penyebab untuk perniagaan atau bisnes cepat maju atau untuk menjadi cepat kaya.

Apakah maksud, kisah atau rahsia sebenar ayat ini? Untuk mengetahui lebih lanjut, silakanlah ke laman AGAMA.

Alam sekitar dan anda

"Oo... anok-anok tok leh meghaso mandi laok bersaing main ghama-ghama,

Ale lo ni tuo omornyo berjoto
Kito usoho jauh ke daghi malo petako,

Ozon lo ni koho nipih nak nak aghi keno make asak hok biso, weh pase maknusio
Seghemo bendo-bendo di dunio tok leh tahe sapa bilo-bilo"


- Hijau, Zainal Abidin


Masih terngiang-ngiang lagi lagu ini, walaupun hampir sedekad sudah berlalu. Cuma baru akhir-akhir ini nampaknya kesan kempen kesedaran telah mula nampak dalam masyarakat kita. Isu seperti pemanasan global, pencairan air di Kutub Utara, Selamatkan Bumi (Save the Earth), "Carbon Footprint" dan pelbagai isu berkenaan alam sekitar sudah mula diberi perhatian. Malah yang terbaru hangat diperkatakan adalah Bumi pada tarikh 21 Disember 2012 yang mana sukar ditentukan sama ianya benar-benar akan berlaku atau hanya satu propaganda semata-mata. Apa yang penting adalah peranan yang kita mainkan untuk menjaga Bumi dan Alam sekitar untuk generasi akan datang dari kesan buruk yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia iaitu kita sendiri.

Kita seringkali memandang kepada perkara yang besar seperti isu pemanasan global atau penipisan lapisan ozon, tetapi terlupa bahawa langkah awalnya bermula dari rumah kita sendiri. Ada beberapa fakta yang selalu kita terlepas pandang yang mana ia bolek dijadikan titik tolak kepada peranan yang kita perlu lakukan dalam kempen kitar semula. Untuk tahu lebih lanjut sila baca di laman ALAM SEKITAR DAN ANDA.

Tips menulis iklan untuk promosi produk atau servis anda

Dengan adanya kemudahan internet pelbagai peluang baru terbuka kepada kita termasuk peluang untuk menjana pendapatan tambahan di internet, memasarkan perniagaan produk atau perkhidmatan kita secara online malah untuk mencari pekerjaan secara online sekalipun. Dalam pada itu kita perlu berhati-hati dengan pelbagai tawaran pendapatan lumayan, jadi jutawan segera atau skim cepat kaya.

Tidak dinafikan bukan semua menawarkan janji palsu kerana ada antara program tersebut menawarkan cara yang sah di sisi undang-undang, kerana ia lebih kepada mengajar teknik pemasaran di internet. Semuanya terpulang kepada anda jika anda sedia untuk memberi komitment kepada cara yang dicadangkan untuk mendapat hasil yang dijanjikan. Contoh yang adalah teknik yang diperkenalkan oleh ADAM AKHIR akan memberi anda persepsi baru kepada dunia pemasaran dan perniagaan di internet jika anda masih baru tentangnya.

Berbalik kepada cerita teknik membuat iklan anda, teknik ini memang telah lama digunakan dan ia adalah sebagai panduan untuk mendapat iklan yang efektif dan berkesan yang berpotensi tinggi untuk mendapatkan pelanggan atau pembeli untuk anda. Sama ada anda ingin meletak iklan di papan tanda kompleks beli belah (shopping complex), classified ads, laman web atau laman blog anda di internet, teknik ini boleh digunakan. Jadi, bagaimana untuk membuat atau menulis iklan yang mengancam dan menarik perhatian?.

Semuanya akan terjawab jika anda berkunjung ke segmen WANG & PERNIAGAAN.
Selamat mencuba.

Sunday, May 17, 2009

Apa anda perlu tahu tentang Selsema Khinzir, Selsema Babi atau Influenza A H1N1

Kes kedua selsema khinzir atau swine flu yang dilaporkan di negara kita pada 16 Mei yang lalu menunjukkan Malaysia tidak lagi terkecuali dari penyakit ini, dan langkah berjaga-jaga perlu diambil sebagai persiapan menghadapi ancaman penyakit tersebut.

Pelbagai nama
1. Bahasa Melayu : Selsema khinzir atau Selsema babi
2. Bahasa Inggeris : "Swine Flu" atau "Swine Influenza"
3. Nama Saintifik : Influenza A virus sub-type H1N1


Apakah Selsema Khinzir
Ia bermula sebagai sejenis penyakit yang berjangkit kepada khinzir sahaja, tetapi kemudiannya telah bermutasi menjadi penyakit berjangkit kepada manusia, seperti penyakit-penyakit yang kita hadapi sebelum ini termasuk selsema burung dan penyakit kuku dan mulut. Meskipun sukar untuk menjejak punca penyakit-penyakit ini, tetapi sejarah telah menunjukkan apabila penyakit baru seperti ini timbul, vaksinnya akan dapat ditemui walaupun memakan masa. Virius H1N1 yang tekini melibatkan elemen genetik dari selsema khinzir dan selsema burung yang dimutasikan dengan selsema ke atas manusia.


Bagaimana ia bermula
Ianya bermula dengan jangkitan ke atas khinzir dengan kadar jangkitan yang tinggi walaupun dengan kadar kematian yang rendah. Menurut laporan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit di Amerika (CDC), 12 orang telah dijangkiti penyakit ini antara Disember 2005 dan Februari 2009 dan di dalam kebanyakan kes, ia tidak melibatkan jangkitan terus antara khinzir dan manusia.

Punca lokasi dan spesis virus ini belum dapat dikenal pasti, namun dipercayai bermula sekitar September 2008 dan menular ke atas manusia untuk beberapa bulan lepas sebelum kes pertama dilaporkan ke atas dua orang kanak-kanak di San Diego dan Imperial County, California. Tanda-tanda awal wabak ini telah ditemui di Mexico City pada 18 Mac dan telah dikenalpasti sebagai virus baru H1N1.


Sejarah
Pada tahun 1976, wabak yang dikenalpasti sebagai H1N1 ini pernah menular di kalangan rekrut-rekrut askar Amerika di Kem Fort Dix, New Jersey selama sebulan dan mengakibatkan 1 kematian sahaja dan dilaporkan telah berhenti secara misteri.


Bagaimana ia merebak
Seperti penyakit selsema yang biasa, virus ini boleh berjangkit melalui sentuhan objek yang terkena virus itu ke bahagian mata, mulut atau hidung. Mereka yang terkena jangkitan ini boleh menyebarkan virus ini sehari sebelum tanda-tanda penyakit ini dikesan, dan sehingga seminggu selepas ianya dikenal pasti.

Memandangkan ianya sejenis penyakit selsema, faktor penyebaran virus melalui udara perlu diambil kira, menyebabkan penggunaan topeng udara dan alat pernafasan disarankan. Meskipun pihak berkuasa di Amerika menjamin keselamatan daripada jangkitan melalui pemakanan haiwan tersebut, namun ramai yang mengambil langkah berjaga-jaga dengan menjauhinya.


Tanda-tanda diserang penyakit
Tanda-tandanya sama seperti penyakit selsema bermusim dan berbeza di kalangan pesakit yang berlainan. Antaranya adalah:
1. Demam

2. Hilang tenaga

3. Hilang selera makan

4. Batuk

5. Hidung berair

6. Sakit tekak

7. Muntah

8. Cirit-birit


Langkah pencegahan
1. Jadikan tabiat untuk membasuh tangan dengan kerap. Gunakan air dan sabun, atau pembunuh kuman yang mengandungi alkohol terutamanya selepas berada di tempat awam

2. Elakkan menyentuh mulut, hidung dan mata dengan tangan atau objek semasa dan selepas berada di tempat awam tanpa mengambil langkah menghapuskan kuman yang dikhuatiri telah berjangkit

3. Tutup hidung dan mulut jika batuk atau bersin

4. Buangkan objek yang terkena kuman seperti tisu terus ke dalam tempat yang sesuai supaya tidak berjangkit kepada orang lain

5. Bersihkan permukaan di rumah yang dikhuatiri telah berjangkit dengan virus sebaik-baiknya dengan larutan klorin pemutih


Langkah pengubatan
Mayo Clinic mencadangkan beberapa cara mengurangkan kesan-kesan jangkitan termasuk:
1. Minum banyak cecair termasuk air, jus dan sup panas untuk mengelakkan dehidrasi. Minum sehingga air kencing bertukar menjadi jernih atau kuning cair

2. Rehat dan tidur dengan cukup untuk membantu sistem imunasi badan bertindak melawan penyakit

3. Dapatkan ubat penahan sakit yang sesuai menurut nasihat doktor termasuk ubat yang sesuai untuk kanak-kanak

Meskipun kes jangkitan virus ini di negara kita belum mencapai tahap serius, namun langkah-langkah pencegahan adalah lebih utama, terutamanya apabila penyakit tersebut boleh berjangkit sebelum tanda-tanda awalnya dapat dikesan lagi.


Sumber: Wikipedia, Medicine.net
Dapatkan pelbagai tips tentang kesihatan dan pemakanan

Tuesday, May 12, 2009

Sambutan Hari Guru 2009

"Guru Pembina Negara Bangsa"

Begitulah tema Hari Guru tahun ini yang akan disambut bertempat di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu pada 16hb Mei ini di seluruh negara.

Tarikh yang dipilih adalah bersamaan dengan tarikh Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran sebagai dasar pelajaran negara di dalam tahun 1956.

Antara peranan guru yang ingin diterapkan tahun ini berdasarkan tema sambutan Hari Guru tahun ini adalah dalam pembinaan kebangsaan (termasuk perpaduan dan integrasi), pembangunan negara dan perkhidmatan kepada masyarakat.

Pada hari itu, para guru dan murid sibuk dengan sambutan berupa persembahan dan majlis. Yang pastinya pada pagi itu murid-murid dan para pelajar sibuk menghadiahkan guru mereka dengan cenderahati, manakala para guru sibuklah membuat koleksi hadiah yang diberi. Adakah hari ini sekadar hari ibu-bapa terpaksa berbelanja lebih untuk anak-anak mereka membelikan hadiah untuk guru mereka, atau cukup sekadar penghargaan terhadap jasa guru melalui sambutan dan persembahan.

Bagi ibu-bapa yang memiliki pendapatan yang lebih mungkin tiada masalah untuk berbelanja sedikit untuk para guru, umpamanya membeli hadiah-hadiah yang tidak berapa besar belanjanya. Apakah antara hadiah yang boleh dan berguna diberikan kepada guru?

Antaranya adalah:

1. Jambangan bunga atau kuntuman bunga yang hidup

2. Pen terutamanya pen merah untuk menanda kertas atau buku

3. Jika guru wanita mungkin boleh diberi tudung, selendang atau kerongsang

4. Buku catitan dalam bentuk diari atau organizer

5. Beg jinjing seperti shopping bag dari kanvas, untuk mudah membawa buku persediaan mengajar dan sebagainya

6. Alat organizer meja seperti bekas pensel, memo pad dan mouse pad (bagi yang berkomputer)

7. Bahan makanan seperti coklat, cookies dan muffin

Tidak semestinya hadiah yang dibeli itu menjadi ukuran. Antara cenderahati yang boleh diberi tanpa melibatkan belanja yang sebesar mana adalah:

1. Kad pop-up. Cara untuk membuatnya boleh didapati di dalam bahagian SENI DAN KRAF

2. Hadiah dari kertas kitar-semula seperti kadbod yang digubah cantik menjadi bekas pensel atau memo pad, malah kad ucapan sekalipun

3. Membuat cookies secara banyak dan dihiaskan dengan bungusan plastik yang cantik beserta kad ucapan kecil

4. Memberi hadiah secara berkumpulan dengan impak dan personaliti yang tersendiri.

Cara-cara memberi hadiah secara berkumpulan:

1. Menulis sajak di atas kad besar

2. Foto kolaj (tampalan kreatif gambar-gambar termasuk foto) tentang murid-murid, guru dan kelas mereka

3. Mengecat t-shirt, kain rentang kecil dengan ucapan dari setiap murid

4. Hamper dengan mengisi semua hadiah individu dari setiap murid disertakan dengan kad berkumpulan. Hadiah dari setiap murid bolehlah dirancang supaya tidak ada duplikasi

Hari Guru janganlah hendaknya dijadikan hari sambutan yang berlebihan sehingga membebankan ibu-bapa yang kurang berkemampuan. Dengan kreativiti dan perancangan, jasa guru dapat dikenang dan dihargai tanpa perlu berbelanja besar namun tetap dirasa nilai dan penghargaannya.


Satu lagi idea untuk hadiah Hari Guru

Sunday, May 10, 2009

Mencantikkan laman hanya untuk rumah corner lot sahaja?



Saya sering terdengar orang memperkatakan, untuk memiliki laman yang cantik hanya untuk mereka yang memiliki rumah besar dengan kawasan lapang yang luas atau yang tinggal di rumah corner lot. Saya sendiri tinggal di rumah teres dan memang jarang saya melihat mereka yang tinggal di rumah lot tengah mencantikkan laman, biasanya hanya sekadar ruang berumput atau beberapa batang pokok. Yang memiliki air terjun pun susah untuk ditemui.


Soalannya sama ada boleh atau tidak dilakukan, bergantung kepada pemilik rumah itu sendiri. Bak kata pepatah, hendak seribu daya tak mahu seribu dalih. Tapi ada juga yang mempunyai keinginan yang besar tetapi tercari-cari ilham untuknya. Kali ini saya memberikan beberapa tips untuk pemilik rumah dengan ruang laman kecil menyuntikkan idea baru dan lain dari biasa untuk kawasan rumah mereka. Itupun jika mereka ada masa untuk memikirkan dan mengaplikasikan idea-idea tersebut. Semuanya boleh didapati di dalam bahagian LAMAN DAN KEBUN

Senaman untuk kesihatan




Baru-baru ini kita dikejutkan dengan pelbagai penyakit, dan yang terbaru selsema khinzir. Penyakit seperti ini datang tiba-tiba dan sukar dielakkan. Tetapi banyak juga penyakit yang kita tahu risikonya dan boleh kita elakkan tetapi sering mengambil ringan tentangnya. Penyakit-penyakit seperti darah tinggi, kencing manis, osteoporosis, stres dan sebagainya boleh dielakkan jika kita mengambil berat tentang kesihatan termasuklah dengan memberhentikan tabiat-tabiat buruk kita (merokok, makan secara luar kawalan, dll), menjaga pemakanan dan bersenam secara kerap.





Di samping meningkatkan kesihatan fizikal, senaman juga dapat meningkatkan kesihatan mental kita. Contohnya semasa menghadapi stress, kesukaran untuk tidur atau perubahan mood secara mendadak. Faedah-faedah bersenam terutamanya melalui senaman membina otot saya terangkan lebih lanjut di dalam bahagian SUKAN & RIADAH.



Banyak cara kita boleh bersenam seperti jogging, berbasikal, berjalan kaki, membuat aktiviti berkebun atau di laman, dan banyak lagi. Namun sejauh mana efektifnya senaman yang kita buat bergantung kepada intensiti latihan yang kita buat dan matlamat yang ingin kita capai dari senaman tersebut sama ada untuk faedah kardiovaskular (jantung), kekuatan (otot) menurunkan berat badan dan lain-lain. Latihan-latihan di atas tidaklah sebanyak mana jika hendak dibandingkan dengan latihan membina otot. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang latihan membina otot bolehlah baca di dalam bahagian SUKAN & RIADAH

Monday, May 4, 2009

Sambutan Hari Ibu
















Pada 10hb Mei ini kita di Malaysia akan menyambut Hari Ibu, hari untuk memperingati semua insan bergelar ibu. Jika anda masih mempunyai ibu di dunia ini, mungkin anda telah membuat persiapan untuk menyambut hari yang istimewa untuk insan yang telah banyak berkorban untuk anda ini.



Jika anda masih tercari-cari hadiah yang sesuai, disini ada beberapa tips untuk anda:



1. Hadiahkan sejambak bunga untuk ibu anda



Ehsan foto: Gifttree.com



Anda tidak perlu berbelanja besar, hanya perlu kreatif menggubah bunga yang boleh memberikan suasana penuh emosi. Gabungan warna dan bekas yang anda guna juga memain peranan. anda boleh gunakan bakul rotan, teko unik, pasu unik, ribon, malah teddy bear sekalipun.


2. Hadiahkan sebakul hamper untuk ibu anda


Ehsan foto: Gifttree.com


Bila disebut hamper, tidak semestinya ianya dibeli di kedai. Anda hanya perlukan bakul dalam pelbagai bentuk dan diisi dengan barangan untuk ibu tersayang anda. Anda boleh hadiahkan buah-buahan segar (plastik pun boleh, tapi kurang unsur emosi di situ), pokok-pokok hidup terpilih (beserta pasu sekali, tetapi digarap menjadi gubahan), atau pelbagai cenderahati termasuk bingkai gambar, kole unik, cookies, muffin, cupcakes malah voucher membeli-belah sekalipun! Yang penting gubahan dan pemilihan warna yang kreatif.



3. Hadiahkan sebungkus coklat untuk ibu anda



Ehsan foto: Gifttree.com


Sekiranya anda ada resepi sendiri, itu lebih besar ertinya dan dihadiahkan dalah kotak yang cantik. Anda boleh juga gunakan cookies di samping coklat.




4. Hidangkan ibu anda dengan strawberi bersalut coklat
Ehsan foto: Redenvelope.com


Resepi lazat dan istimewa ini mengandungi buah strawberi segar di samping coklat yang pasti menggembirakan. Anda boleh hiaskan dengan coklat hitam atau putih atau kedua-duanya sekali. Anda boleh dapatkan resepi in di dalam bahagian RESEPI DAN MASAKAN


5. Buatkan kad pop-up.



Memang terdapat banyak kad yang canggih dan mahal di kedai, tetapi sekiranya anda boleh buat sendiri, ia akan memberikan nilai yang lebih dan akan meninggalkan memori jangka-panjang kepada orang yang tersayang. Sekiranya ia adalah untuk isteri anda yang merupakan ibu kepada anak-anak anda, anda boleh jadikan ia projek bersama anak-anak anda.
Anda boleh dapatkan teknik yang ringkas dan mudah untuk membuat kad pop-up ini di dalam bahagian SENI DAN KRAF


Terdapat banyak lagi cara-cara unik untuk menjadikan Hari Ibu tahun ini sesuatu yang istimewa untuk orang yang tersayang. Terpulang kepada anda untuk mencari cara yang kreatif dan istimewa untuk meraikannya.

Saturday, May 2, 2009

Pengenalan kepada Kausar Kreatif


Apakah Kausar Kreatif Infomedia Online?
Terus ke Laman Utama

Kausar Kreatif adalah sebuah portal untuk berkongsi maklumat dengan komuniti online dalam Bahasa Malaysia menggunakan internet dengan menyediakan maklumat dari pelbagai aspek dan perspektif di bawah satu “bumbung” di samping menjadi medan untuk mereka yang ingin berjinak di dalam bidang penulisan atau yang baru memulakan blog mereka untuk mendapat pengunjung segera dan juga untuk para peniaga mempromosi perniagaan mereka kepada komuniti online.



Kausar Kreatif Infomedia dibahagikan kepada 5 kategori:


1. Wang & Perniagaan


2. Alam Sekitar


3. Kehidupan & Kesihatan (dibahagikan kepada sub-topik Agama, Kesihatan & Kecergasan, Diet & Pemakanan, Pasangan & Perkahwinan, Rumahtangga & Keluarga, Wanita & Kecantikan, dan Lelaki)


4. Motivasi & Binadiri


5. Hobi & Masa Lapang (dibahagikan kepada sub-topik Seni & Kraf, Fotografi, Komputer & Internet, Sukan, Kereta & Auto, Resepi & Masakan, dan Laman & Kebun)


Kenapa hasilkan Kausar Kreatif?

Semuanya bermula semasa saya mula mencari peluang untuk membuat pendapatan di internet. Saya telah mempelajari beberapa teknik termasuk mengisi borang survey dan produk affiliate. Dalam pencarian itu saya telah pelajari pelbagai teknik pemasaran di internet termasuk dari program yang ditawarkan oleh Adam Akhir. Selepas itu kefahaman dan minat saya untuk mendalami ilmu di internet mula bertambah. Hinggalah akhirnya banyak maklumat yang saya temui dan mula terfikir lebih baik jika berkongsi segala ilmu yang ada.

Internet merupakan gedung ilmu yang cukup luas. Sekiranya anda dapat membezakan yang mana ilmu yang boleh dipakai dan tidak, maka banyak menfaat yang boleh anda ambil. Saya pernah menyiapkan sebuah presentation video untuk Jamuan Tahunan di syarikat saya pernah bekerja dulu, tanpa sebarang ilmu tentangnya, hanya berbekalkan komputer, internet, kamkoder dan perisian yang disediakan (mungkin satu masa nanti saya akan buat satu artikel tentang itu). Apa yang saya ingin sampaikan adalah, jika anda persisten dan mencari maklumat di internet dari sumber yang betul, banyak ilmu yang boleh anda timba di internet.

Apa yang saya sediakan adalah apa yang saya mahukan sebagai seorang pembaca, bukan sebagai penulis. Namun begitu, sama ada ianya benar-benar bermutu atau tidak. anda sahaja yang dapat menilainya.

Jika anda ada apa-apa permintaan untuk sesuatu topik disiarkan, anda boleh buat request dengan menghantar email kepada saya di kausarkreatif@ymail.com.


Bagaimana ia boleh memberi menfaat kepada anda?


Ada pelbagai ilmu dalam bentuk artikel, tips dan petua untuk anda dari pelbagai bidang.

Anda boleh berkongsi maklumat sama ada anda ada laman web/blog atau tidak. Bagi anda yang memiliki laman web/blog bolehlah menfaatkan laman web saya untuk memperkenalkan diri anda dan menarik pengunjung ke laman anda.

Kalau anda ada perniagaan anda boleh promosi perniagaan, produk atau servis anda di sini .

Berjaya atau tidak laman web ini dalam mendapat ramai pengunjung dan mengambil menfaat dari maklumat yang sedia ada adalah bergantung kepada anda. Oleh itu sokongan anda sama ada sebagai pengunjung atau penyumbang maklumat dan artikel di sini amat-amat saya hargai : )

Dari semasa ke semasa saya bercadang untuk memberikan apa-apa yang saya temui sepanjang pencarian online saya sebagai cenderahati kepada anda sebagai pengunjung. Jadi jangan ketinggalan dengan mem"bookmark" Laman Utama dan blogspot saya ini.

Selamat Membaca : )
Terus ke Laman Utama