SELAMAT DATANG

Sunday, July 26, 2009

Sepintas Lalu Di Kausar Kreatif

Salam kunjungan buat semua pembaca yang budiman,

Tanpa disedari telah hampir 3 bulan usia Laman Blog Kausar Kreatif ini, namun sambutan anda para pengunjung yang budiman dan dihormati rasanya seperti sudah bertahun lamanya.

Sepanjang pemblogan saya di sini saya ingin meminta maaf jika ada kesilapan teknik sama ada bahasa yang kurang sempurna atau ejaan dan maklumat yang kurang tepat, namun matlamat utamanya adalah memberikan alternatif baru kepada anda dalam mendapatkan maklumat di internet yang bagaikan lambakan info digital yang kadangkala mengelirukan dan membuat kita tenggelam dalam kesesakan.

Sebenarnya terlalu banyak rancangan saya untuk anda sebagai pengunjung yang setia, tetapi kadangkala masa amat mencemburui saya dan rancangan hanya tinggal satu agenda dalam organizer saya atau terpendam dalam minda. Tapi mudah-mudahan dengan kesabaran anda satu hari nanti ianya akan menjadi kenyataan juga.

Yang terbaru di Kausar Kreatif adalah ruangan mini forum yang saya gelarkan WARONG KOPI KAUSAR KREATIF yang saya adakan sebagai alternatif di samping artikel-artikel yang ada untuk anda. Anda boleh berkongsi pandangan dan maklumat dengan komuniti di Kausar Kreatif, dan jika ada rakan-rakan yang sedang online, mungkin anda boleh berborak atau berchatting bersama. Anda tak perlu register atau mendaftar, hanya perlu log in dengan Google ID anda. Jika anda ingin buatkan Google ID yang baru untuk maksud ini pun boleh juga, tambahan pula ianya percuma.

Kepada yang ingin meletakkan iklan anda di pelbagai segmen yang ada di Kausar Kreatif, anda dialu-alukan. Jika anda ingin meletak iklan percuma, boleh juga dengan bertukar-tukar link. Link anda akan diletakkan di segmen yang berkenaan.

Sebenarnya terlalu banyak artikel yang hendak saya sediakan, tetapi keadaan masa agak tidak mengizinkan dengan komitmen saya kepada pelbagai tugasan saya di luar dunia digital ini.

Kesabaran anda dalam menantikan artikel terbaru daripada saya amat saya hargai.

Di samping membaca artikel di laman saya dan berkongsi pandangan di warong kopi saya. jangan lupa berkunjung ke setiap laman-laman blog atau web lain yang saya linkkan di setiap mukasurat laman blog, laman utama dan segmen-segmen yang ada. Mungkin ada yang menepati citarasa anda di sana.

Harap-harap saya akan dapat menghasilkan artikel yang menarik dan bersesuaian dengan anda dalam masa terdekat ini.

Akhir kata, Selamat Bersantai dan Selamat Membaca... : )

Thursday, July 23, 2009

Syabaan telah tiba, Ramadhan bakal menyusul

Terasa baru saja menyambut bulan Rejab dan kini kita telahpun berada di dalam bulan Syaaban. Ketibaan Syaaban menandakan hanya ada beberapa minggu sahaja lagi sebelum tibanya Bulan Ramadhan Al-Mubarak, bulan yang penuh keberkatan dan keampunan buat mereka yang mencari keredhaan Allah di dalamnya.

Antara peristiwa utama yang berlaku di dalam bulan Syaaban adalah pertukaran kiblat untuk menunaikan sembahyang atau solat dari masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis ke Kaabah di Mekah.

Jika bulan Rejab kita kaitkan dengan Peristiwa Israk Mikraj yang dialami Baginda Rasulullah s.a.w, bulan Syabaan kita ingati dengan kehadiran Malam Nisfu Syaaban pada 15 Syaaban (tahun ini jatuh pada 6 Ogos 2009). Meskipun tiada sumber yang sahih tentang pertukaran buku amalan manusia pada malam tersebut (bahawa buku amalan pada tahun lepas akan dinaikkan ke langit dan buku baru akan dibuka pada malam tersebut), namun telah menjadi amalan umat Islam terutamanya di negara kita untuk membaca surah Yasin sebanyak tiga kali dengan niat yang berlainan bagi setiap satu bacaan.

Bulan Rejab, Syaaban dan Ramadhan adalah peluang untuk kita memperbaiki dan mempertingkatkan amalan di dalam kehidupan kita, dan terpulanglah kepada kita untuk mengambil kesempatan yang hadir hanya sekali setiap tahun ini, atau membiarkan ianya berlalu dalam kehidupan kita tanpa sebarang perubahan...

Untuk maklumat lanjut tentang Bulan Syaaban sila kunjungi Segmen Agama

Sunday, July 19, 2009

Blog, Internet Bot dan Dunia Online

Secara kita sedar atau tidak, terlalu banyak perubahan telah berlaku di dalam dunia internet melalui inovasi perhubungan secara online. Antara yang utama adalah arena blogging yang semakin diminati ramai dan kehadiran internet robot di dalam dunia online ini.

Di zaman IT yang serba canggih secara tidak langsung ramai bakat-bakat baru di bidang penulisan blog mula muncul dengan adanya medium seperti Wordpress dan Google Blogspot. Tidak kira sama penulisan berbentuk percakapan harian atau yang lebih mementingkan penyampaian bahasa yang kemas dan mantap. Bak kata seorang kenalan saya, penulisan blog ini umpama genre baru di dalam bidang penulisan tanah air.

Penulisan blog memberi kita kepuasan dan kebebasan berkarya, dan kalau anda teliti meninjau blog-blog yang ada, pelbagai jenis isi dan penyampaian yang akan anda temui – sama ada koleksi gambar-gambar persendirian, lagu-lagu terhangat masa kini, dan bermacam-macam perkara yang sedikit sebanyak mencerminkan minat pemblog itu sendiri. Malah blog juga telah menjadi medan usahawan online mempromosi barangan atau perkhidmatan mereka tanpa kos yang membebankan.

Dengan adanya pelbagai kemudahan untuk memanjangkan jaringan sosial (social networking) dan pelbagai widget (perkakasan maya atau "virtual gadget" seperti java script, follower, stat counter dan visitor map) maklum balas secara terkini akan respons kepada maklumat yang dipersembahkan kepada umum menambahkan kehangatan berblog untuk menepati citarasa para pengunjung.

Di dalam dunia era digital ini maklumat adalah terkini di hujung jari dengan hanya memerlukan komputer, modem dan talian internet. Segala yang berlaku di seluruh dunia boleh anda ketahui dengan sekelip mata dengan memilih kata-kata kunci yang betul dan tepat dalam bahasa yang dikehendaki. Namun begitu dengan lambakan maklumat yang ada, kita perlu bijak dan berhati-hati dalam memilih maklumat yang tepat dan tidak terkambus di dalam timbunan maklumat yang mengelirukan.

Dengan kecanggihan teknologi dunia digital ini juga ramai juga insan-insan yang mengambil kesempatan yang ada untuk menipu dan memperdaya mangsa mereka secara online. Mungkin ramai di antara anda yang menggunakan kemudahan e-mail tidak terkecuali daripada mendapat e-mail berupa tawaran lumayan cabutan bertuah bernilai berjuta-juta dollar atau pound sterling, atau mungkin email bernada sayu memohon bantuan untuk mangsa peperangan dan sebagainya. Anda perlu bijak mengkaji daripada penggunaan bahasa, kewujudan dan kesahihan badan-badan yang menganjurkan, malah memastikan alamat dan nombor telefon yang digunakan adalah benar-benar wujud dan bukan sekadar untuk mengaburi mata anda. Begitu juga dengan pelbagai email dari bank, anda harus berhati-hati kerana ada yang menyamar dengan logo yang serupa. Cara terbaik adalah menghubungi bank anda dan memastikan kesahihan e-mail tersebut sebelum kehilangan wang anda secara online.

Di zaman ini juga terdapat pelbagai spiderbot, webbot atau netbot yang merupakan "pekerja-pekerja" yang bekerja keras mengunjungi setiap pelusuk dan ceruk dunia cyber ini untuk tujuan-tujuan tertentu. Anda jangan terkejut jika kerja-kerja pencarian, pengumpulan data dan penghantaran email dilakukan oleh komputer melalui buruh yang tidak kenal penat-lelah bernama Bot ini. Banyak kelebihan kemajuan teknologi ini seperti penentuan pagerank anda, pencarian laman-laman web berdasarkan kata-kata kunci yang anda berikan di dalam search engine seperti Yahoo, Google dan MSN, dan pelbagai fungsi lagi. Namun ada juga yang menyalah-gunakannnya dengan membuat posting ke pelbagai tempat secara otomatik atau menghantar email berbentuk spam (yang merupakan satu perbuatan yang tidak beretika walaupun agak berat untuk dikategorikan sebagai jenayah) dengan pencarian laman yang menyediakan alamat email untuk berhubung dengan pengunjungnya. Tidak hairanlah jika kita terpaksa memasukkan maklumat tambahan berbentuk karakter-karakter secara rawak sebelum dapat menghantar email kepada seseorang di internet, yang merupakan taktik yang tidak boleh dicerobohi oleh bot-bot internet ini (setakat ini...).

Internet dan dunia digital adalah sebuah alam maya yang sentiasa berubah dan berlegar dengan inovasi-inovasi baru. Kita perlu prihatin dan sentiasa mengambil tahu perkembangan terbaru, bukan setakat untuk menambahkan keseronokan dan kemudahan berhubungan di internet, tetapi juga untuk mengelakkan diri kita dari menjadi mangsa mereka yang ingin mengambil kesempatan dengan perkembangan teknologi online yang terbaru.
Anda boleh dapatkan tip-tip penjagaan komputer anda dari pelbagai ancaman dan tip-tip penjagaan khas laptop anda di dalam segmen Komputer dan Internet