SELAMAT DATANG

Sunday, September 27, 2009

Mazhab Cinta, Karya Penulisan dan Kausar Kreatif


Salam kunjungan kepada semua pembaca laman saya yang tidak seberapa ini. Tentu ramai yang tertanya kenapa entri di sini lama sudah tidak dikemaskini. Dan tentu ada yang tertanya-tanya apa kena mengena gambar Antologi Cerpen Saudara WB Rendra berjudul Mazhab Cinta yang ada di laman blog saya ini. Untuk menerangkannya, ada beberapa perkara yang ingin saya kongsikan bersama anda:

1. Gambar naskhah Mazhab Cinta itu saya letakkan sekadar berkongsi maklumat bahawa saya telah terpilih untuk memiliki naskhah tersebut semasa menyertai program anjuran saudara Rendra sebelum hari raya yang lepas. Saya memang tidak sangka akan terpilih kerana saya fikir tentu ramai yang lebih layak dan memberi komen yang lebih baik daripada saya. Tapi, mungkin juga ini rezeki saya menjelang raya :). Dan saya kira 'janji' yang saya buat dalam komen itu harus saya tunaikan...

2. Akhir-akhir ini saya seakan 'terpanggil' untuk menceburi bidang karya penulisan kreatif. Bermula dengan kunjungan secara tidak disengajakan ke sebuah laman blog seorang editor, diikuti dengan beberapa laman blog yang lain. Sememangnya itu dua bidang berbeza - penulisan kreatif dan penulisan berbentuk maklumat dan tips. Pada masa ini saya sedang sibuk menyiapkan sebuah novel (ya, sebuah novel...). Tapi sama ada ianya akan berada di pasaran satu hari nanti atau tidak, itu di luar bidang kuasa saya. Sebagai insan kita hanya mampu berusaha, dan selebihnya terserah kepadaNya.

3. Ekoran dari perkara #2 di atas, saya ada perancangan baru di Kausar Kreatif. Terlalu awal untuk saya memberitahu hala tuju perkara ini. Tetapi sekiranya anda setia mengikuti perkembangan di laman ini, anda akan tahu juga apa yang saya maksudkan. Buat masa ini, cukuplah itu sebagai petanda awal kepada anda.

4. Lantaran kesibukan baru ini, saya akan cuba membuat entri baru di dalam segmen-segmen yang ada, paling tidak pun sesuatu yang saya ambil secara berhemah dari tempat lain untuk dikongsi dengan anda.

Akhir kata, terima kasih kerana sudi terus berkunjung ke sini walaupun dalam keadaan laman saya yang serba kekurangan ini. Selamat berkunjungan dan menerima kunjungan sepanjang bulan Syawal ini dan selamat kembali bertugas kepada anda semua.

Sunday, September 13, 2009

Selamat Hari Raya Aidil Fitri

Dalam kesibukan kita menjalani ibadah puasa, membuat persiapan berbuka puasa dan membuat persiapan untuk menyambut hari raya, bulan Ramadhan telah hampir ke penghujung dan bulan Syawal akan menjelma tidak lama lagi.

Semoga Ramadhan tahun ini dapat memberi perubahan positif kepada diri kita dalam memperbaiki amalan kita. Kadang-kadang kerana terlalu sibuk dan teruja untuk menyambut hari raya, kita terlupa bahawa bulan Ramadhan adalah peluang terbaik untuk memperbaiki atau memulakan sesuatu perubahan positif dalam diri kita kerana pada bulan ini terdapat riwayat mengatakan bahawa syaitan dirantai, menunjukkan lebih mudah berbuat kebaikan dan meninggalkan kejahatan pada bulan ini (wallahua'lam)

Janganlah kerana mengejar keseronokan pada hari raya yang bakal menjelma, kita terlalai sehingga berlebih-lebihan, membazir dan saling berkejaran mendahului satu sama lain dalam hal-hal keduniaan.

Masih ada peluang lagi untuk kita memperbaiki atau meningkatkan amalan kita dengan beberapa hari penghujung bulan Ramadhan. Kepada yang masih belum menunaikan zakat fitrah, jangan ditangguh sehingga telah selesai solat atau sembahyang sunat Hari Raya Aidilfitri.

Kepada yang akan meninggalkan rumah untuk jangkamasa yang lama, jangan lupa untuk mengambil langkah-langkah keselamatan yang perlu. Dan kepada yang akan berjalan jauh, jangan lupa juga memastikan kenderaan dan keluarga anda dalam keadaan yang baik dan selamat. Kerana seringkali kecuaian yang sedikit pada saat-saat akhir mengakibatkan penyesalan yang berpanjangan.

Dengan kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada semua pengunjung Kausar Kreatif yang beragama Islam. Semoga ibadah puasa kita semua tahun ini diterima oleh Allah swt.

Saya ingin juga memohon maaf zahir dan batin sekiranya ada sebarang kesilapan atau tulisan yang mengguris hati sesiapa, kerana matlamat utama Kausar Kreatif adalah memberikan alternatif kepada anda di dalam mendapatkan maklumat, tips dan idea di dunia online, di samping memberi peluang untuk anda mempromosi laman, produk atau perkhidmatan anda. Jangan lupa juga untuk berkunjung ke Mini Forum Google Group atau Warong Kopi saya untuk meninggalkan ucapan atau pesanan anda.