SELAMAT DATANG

Saturday, April 21, 2012

E-Novel Interaktif

"Million Little Mistakes", sebuah karya novel interaktif oleh Heather McElhatton

Tentu ada pembaca yang pernah berangan-angan untuk diberi pilihan selain daripada menurut cerita seperti yang ditulis oleh penulis itu sendiri? Idea ini telah lama wujud tetapi dipelopori olek bidang penulisan kanak-kanak. Konsep novel interaktif Konsep ini merujuk kepada pilihan yang diberi kepada pembaca untuk menentukan penghujung cerita berdasarkan keputusan melalui dialog dan tindakan yang dipilih.

Karya seperti ini nampak gayanya kurang sambutan di alaf ini walaupun ada penulis yang masih berminat untuk menghasilkannya seperti Heather McElhattonGeoff Ryman dan David Benson.

Di tananair kita, rasanya masih belum ada penulis yang mahu mencuba teknik ini. Namun begitu untuk mendapat konsep asas tentang penghasilan karya seperti ini, anda boleh berkunjung ke Laman Karya & Cerita untuk membaca tentang Karya E-Novel Interaktif.

Anda juga boleh berkunjung le Laman Pena VR untuk melihat bagaimana karya seperti ini boleh dihasilkan dengan membaca e-novel Misteri Mimpi Yana. Kisah ini dirancang akan dihasilkan di dalam lima bahagian, dan kini berada di dalam bahagian kedua.

Saturday, April 14, 2012

Karya Penulisan Cerpen dan Novel

Salam kepada semua pengunjung,

Alhamdulillah, tercapai juga hasrat menghasilkan karya berbentuk penceritaan. Tidak sia-sia juga berguru dengan pelbagai ebook berkenaan penulisan kategori ini. Ucapan terima kasih saya juga kepada W.B.Rendra yang menghadiahkan naskhah koleksi cerpen Mazhab Cinta satu masa dahulu, kerana ianya telah membuahkan hasil kepada saya.


Ada masa silalah menjenguk ke laman saya PENA VR untuk membaca beberapa cerpen dan e-novel pertama saya.


E-novel saya buat lain sedikit dari yang biasa dibuat orang lain, kerana saya memilih genre misteri thriller. Misteri Mimpi Yana saya tulis dalam bentuk interaktif, iaitu pembaca diberi peluang memilih beberapa jalan cerita yang berakhir dengan tiga penghujung. Ia akan saya bahagikan kepada beberapa bahagian yang akan berkembang dengan satu plot utama berkaitan dengan Yana. Tetapi setiap bahagian ada pengakhirannya sendiri.

Kenapa pilih misteri thriller?
Saya memang meminati karya misteri berunsur thriller dan paranormal. Penulis kegemaran saya? Siapa lagi kalau bukan Stephen King. Banyak karya novelnya yang telah saya miliki termasuk Shining, Firestarter, dan yang paling saya suka adalah IT. IT ditulis dengan begitu panjang lebar dan tebal tetapi digarap begitu istimewa sehinnga tidak bosan dibaca hingga ke akhir.



Di tanahair kita penulis genre ini yang tidak asing lagi adalah Ramli Awang Mursyid dengan novel-novel seperti Ranggau, Mandatori, Tombiruo, Semangat Hutan, ADAM, Ungu Karmila, Hijab Sang Pencinta, dan yang terbaru adalah Fiksyen 302


Walau bagaimanapun saya cuba menerokai genre-genre lain menerusi penulisan cerpen.

Cerpen Stanza Cinta, Ros Merah dan Tofi Epal mengisahkan seorang gadis bernama Mira yang baru mengenal erti cinta. Bingkisan Sakura dari Tokyo mengisahkan seorang isteri (juga bernama Mira) yang menyedari akibat cemburu buta tanpa usul periksa. Cincin Di Jari meneroka simbolisma cincin di jari dalam perkahwinan menerusi seorang lelaki bernama Zahrul yang berfikir definisi cinta dan jodoh telah berubah dengan peredaran zaman yang telah moden dengan facebook dan internet, tetapi mengenali keluhuran cinta seorang isteri menerusi pengorbanannya yang tragis. Dalam Sup Ekor ada Cinta mengungkai persoalan dalam pepatah "Cinta Itu Buta" yang digambarkan menerusi seorang gadis bernama Aida dan seorang duda hampir separuh abad bernama Dahlan.

Cerpen Kepulangan tersasar sedikit dari genre cinta, tetapi masih berkisar tentang kasih sayang dari ertikata yang luas sebagai sebuah keluarga. Ia adalah kisah Syafiq yang terhimpit dalam kehidupannya yang berubah selepas ditinggalkan ayah dan mendapat seorang bapa tiri, dengan pengakhiran yang 'twisted'.

Tulisan-tulisan saya yang amatur ini terpulanglah kepada anda untuk menilai sendiri mutunya dan mencari simbolisma dan metafora yang tersirat di dalamnya, jika ada..

Dalam keghairahan menulis cerpen, seperti seorang anak kecil yang baru dibelikan permainan baru oleh ayahnya, banyak lagi idea-idea yang akan saya anyam dan garap menjadi cerpen, jika diizinkan Allah.

Untuk membaca karya-karya penulisan cerita saya ini silalah ke LAMAN PENA VR