SELAMAT DATANG

Monday, August 31, 2009

Kemerdekaan, khazanah yang tidak ternilai


Dalam menjalani arus peredaran masa dengan perkembangan yang berlaku saban hari di Malaysia dan seluruh dunia, tanpa kita sedari telah 52 tahun negara kita mengecapi nikmat kemerdekaan. Dalam kesenangan atau kepayahan yang kita hadapi saban hari, kemerdekaan hanya tinggal sebagai satu lembaran sejarah atau satu tarikh untuk diraikan oleh segenap lapisan masyarakat dan kaum di Malaysia.

Telah menjadi adat manusia apabila mengecapi sesuatu nikmat, peluang atau kesenangan, lama-kelamaan kita akan tenggelam dalam keseronokan hingga alpa dan lalai daripada menghargai nilai sesuatu yang kita miliki. Nilai kemerdekaan hanya dapat dirasai oleh mereka yang telah merasa jerih-perit hidup dalam penjajahan dan perjuangan hingga menitiskan keringat dan darah untuk lepas dari belenggu penjajahan.

Hari ini kita menonton atau mendengar upacara pengisytiharan kemerdekaan oleh Allayarham Tunku Abdul Rahman sebagai satu upacara bersejarah, tetapi kita tidak dapat merasakan harga dan nilai sebenar di sebalik kejayaan perjuangan mereka yang telah berhempas-pulas untuk sampai ke matlamat itu.

Di pelbagai pelusuk dunia pada masa ini, masih ada negara-negara yang diancam peperangan dan hidup di dalam ketakutan dan kepayahan. Bagi mereka hidup di dalam keamanan dan keselamatan daripada ancaman peperangan dan kebuluran adalah satu impian yang belum tentu dapat dicapai selama hayat mereka. Kanak-kanak pada usia yang sepatutnya sedang riuh bergelak-ketawa bermain-main di laman bersama rakan, telah merasa ketakutan dan kekalutan akibat bedilan bom dan tembakan peluru yang boleh tiba bila-bila masa tanpa disangka-sangka.

Kemerdekaan adalah satu nikmat yang ada di antara kita telah nikmati semenjak tiba di dunia ini lagi. Sememangnya sukar untuk kita menghayati nilai dan erti sebenar kemerdekaan kerana kita tidak berada di dalam kepayahan dan kesengsaraan hidup dalam peperangan dan penjajahan.

Nikmat kemerdekaan ini adalah satu anugerah yang setiap di antara kita bertanggung-jawab untuk menjaga dan meneruskannya hingga ke generasi yang akan datang. Adalah lebih mudah untuk merosakkan keamanan daripada mengekalkannya. Janganlah kerana perbezaan pendapat dan fahaman sesama kaum, ataupun kerana perbezaan kaum, atau juga kerana perbezaan fahaman beragama kita, keamanan dan kesenangan yang kita kecapi hari ini menjadi taruhan. Tidak mustahil jika kita mengabaikan tanggung-jawab kita, kemerdekaan yang kita miliki hari ini akan kembali menjadi kehidupan dibelenggu penjajahan kerana ancaman dan musuh-musuh negara sentiasa mencari dan mengambil kesempatan dengan peluang yang ada.

Dengan peluang ini juga, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Negara Malaysia yang ke 52 kepada seluruh rakyat Malaysia, tidak kira agama, bangsa atau di mana pelusuk dunia anda berada pada masa ini.



"Di wajah suci anak-anak ini ku lihat sinar
Di hati murni mereka terpahat sebuah impian
Andai sengketa membelenggu sesama
Andai kerakusan menguasai kita
Ke manakan tumpah harapan mereka

Kerna,
Di bahu kitalah terpikul segunung amanah
Di jemala kita terjunjung selaut ikrar
Melunas sumpah, menunai janji

Ayuhlah,
Rakan dan taulan, sahabat dan saingan
Lupakan beda lebihkan menerima
Bertatihlah bersamaku, kita berjalan seiringan, kita melangkah sehaluan
1 suara, 1 impian, 1 harapan, 1Malaysia"


"Harapan" - Nukilan Perdana Menteri Malaysia, Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak (Sumber: Malaysia Merdeka)

Sunday, August 16, 2009

Ramadhan, kedatangan yang ditunggu?


Saban tahun, akan tiba satu bulan di mana pelbagai reaksi akan kita dapat daripada pelbagai golongan masyarakat khususnya umat Islam.

Ada yang mengeluh kerana terpaksa menahan lapar dan dahaga selama sebulan. Ada yang mengeluh kerana pada bulan ini penyakit gastrik datang lagi. Tak kurang juga yang mengeluh kerana pada bulan ini terpaksa balik awal (jika bekerja) untuk menyiapkan juadah berbuka untuk keluarga. Dan mungkin juga ada yang mengeluh kerana pada bulan ini banyak perbelanjaan terpaksa dikeluarkan untuk persiapan menyambut Hari Raya selepas tamat bulan Ramadhan nanti.


Ada juga yang gembira dengan kedatangan bulan Ramadhan, kerana ia membuka peluang mencari rezeki tambahan, sama ada berniaga di bazar Ramadhan atau menjual barang-barang persiapan untuk menyambut Hari Raya termasuk kuih raya, perhiasan rumah atau pakaian.

Bagi golongan bukan Islam juga, bulan Ramadhan adalah peluang untuk menikmati pelbagai jenis juadah yang tidak dapat dinikmati di dalam bulan-bulan yang lain, terutamanya di bazar-bazar Ramadhan.
Yang pastinya Ramadhan janganlah kita hadkan hanya kepada makan-minum dan persiapan untuk beraya saja, kerana matlamat utamanya adalah untuk membentuk ruhani dan kehidupan kita ke arah yang lebih baik.

Ramadhan adalah peluang untuk kita mempertingkatkan kesihatan kita kerana setelah setahun kita memanjakan diri kita dengan pelbagai juadah yang enak, ini adalah masa yang baik untuk memberi peluang tubuh kita "berehat" terutamanya di bahagian penghadaman dan pemakanan.

Ramadhan juga memberi kita peluang untuk menghayati kehidupan masyarakat yang kurang berkemampuan, yang terpaksa berlapar dan dahaga kerana tidak ada apa untuk dimakan atau minum, terutamanya di negara-negara yang diancam kebuluran akibat bencana alam dan peperangan. Meskipun negara kita diancam wabak H1N1 buat masa ini, namun kenikmatan hidup yang kita alami di bumi Malaysia ini jauh lebih baik daripada sebahagian dari tempat-tempat lain di pelusuk bumi ini.

Mungkin Ramadhan tahun ini adalah peluang baik untuk kita mengimbas semula kehidupan kita, sama ada ianya lebih baik dari tahun-tahun sebelum ini, ataupun sebaliknya. Sebagai umat Islam kita meyakini bahawa kehidupan bukanlah untuk penghidupan di dunia ini sahaja, malah untuk kehidupan yang penuh misteri di alam terkemudian yang hanya kita ketahui beritanya daripada Al-Quran dan kata-kata junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. Janganlah hendaknya kesibukan kita seharian menjadi alasan untuk kita mengemudiankan perihal persiapan kita ke alam sana kerana akhir-akhir ini banyak berita-berita kematian mengejut yang kita terima terutamanya di kalangan selebriti yang kita sanjung dan kagumi. Yang pastinya kita semua adalah dalam perjalanan ke sana, tanpa mengetahui tarikh keberangkatan kita...

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang persiapan yang perlu untuk kita menghadapi ibadat puasa ini dan muat turun risalah tentang Ramadhan, silalah berkunjung ke segmen Agama untuk membaca tentang Ramadhan dan Ibadah Puasa.

Dengan kesempatan ini juga saya ingin ucapkan selamat menyambut bulan Ramadhan dan selamat mengerjakan ibadah puasa kepada semua pengunjung Kausar Kreatif yang beragama Islam. Semoga Ramadhan tahun ini dapat membentuk diri yang lebih baik untuk diri saya dan anda semua juga, insya'Allah.

Wallahua'lam dan wassalam.
--------------------------------------------------------------------------------------
Nota: Kadar jumlah bayaran zakat fitrah bagi negeri-negeri di Malaysia bagi tahun 2009 (kecuali Kelantan dan Wilayah):
Selangor, Pahang, Perak, Kedah dan Pulau Pinang - RM7.00

Terengganu - RM5.00, RM7.00 dan RM8.00

Johor - RM5.00 dan RM7.50

Sabah - RM6.60

Negeri Sembilan - RM6.50

Melaka - RM6.30

Sarawak dan Perlis - RM6.00
Sumber: Utusan Online
--------------------------------------------------------------------------------------

Saturday, August 15, 2009

Mata dan arus perkembangan teknologi

Di dalam arus perubahan teknologi, mata juga menjadi fokus pelbagai inovasi masa kini. Sama ada dalam penggunaan kacamata, kanta lekap atau surgeri untuk mengembalikan fungsi mata.

Terdapat pelbagai inovasi kacamata biasa atau gelap dengan pelbagai bentuk dan gaya mengikut citarasa anda di samping memberi ciri-ciri tambahan. Contohnya adalah kacamata dengan fungsi USB.

Pelbagai jenis kacamata untuk memenuhi citarasa anda

Kacamata gelap dengan fungsi USB


Suatu masa dahulu kanta lekap adalah sebagai ganti untuk cermin-mata, tetapi kini ia telah menjadi aksesori tambahan untuk bergaya dan menjadi kegilaan generasi baru masa kini. Didatangkan di dalam pelbagai warna, corak dan tema, aksesori kanta lekap ini dapat memenuhi citarasa mereka yang berani tampil dengan kelainan dan gaya berbeza.

Aksesori kanta lekap dengan gaya lebih berani


Kanta lekap Geonude untuk gaya ala anime


Sekiranya cermin mata dan kanta lekap bukan citarasa anda dan anda inginkan sesuatu yang lebih kelihatan semulajadi, anda boleh jalani pembedahan lasik (singkatan untuk Laser-Assisted In Situ Keratomileusis) untuk membetulkan kornea mata anda dan mengembalikan titik fokal mata anda seperti sediakala. Surgeri yang menggunakan laser ini memakan masa lebih kurang 15 minit sahaja dan anda boleh melihat selepas pembedahan tersebut tanpa perlu dibalut atau diwadkan, namun perlu menjalani penjagaan rapi.


Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang penjagaan mata di samping teknik-teknik senaman untuk mata anda dan tips untuk menyerlahkan kecantikan mata anda dengan kosmetik, sila baca artikel Tips agar mata anda kelihatan sihat dan jelita di dalam segmen Wanita & Kecantikan