
Salam kunjungan kepada semua pembaca laman saya yang tidak seberapa ini. Tentu ramai yang tertanya kenapa entri di sini lama sudah tidak dikemaskini. Dan tentu ada yang tertanya-tanya apa kena mengena gambar Antologi Cerpen Saudara WB Rendra berjudul Mazhab Cinta yang ada di laman blog saya ini. Untuk menerangkannya, ada beberapa perkara yang ingin saya kongsikan bersama anda:
1. Gambar naskhah Mazhab Cinta itu saya letakkan sekadar berkongsi maklumat bahawa saya telah terpilih untuk memiliki naskhah tersebut semasa menyertai program anjuran saudara Rendra sebelum hari raya yang lepas. Saya memang tidak sangka akan terpilih kerana saya fikir tentu ramai yang lebih layak dan memberi komen yang lebih baik daripada saya. Tapi, mungkin juga ini rezeki saya menjelang raya :). Dan saya kira 'janji' yang saya buat dalam komen itu harus saya tunaikan...
2. Akhir-akhir ini saya seakan 'terpanggil' untuk menceburi bidang karya penulisan kreatif. Bermula dengan kunjungan secara tidak disengajakan ke sebuah laman blog seorang editor, diikuti dengan beberapa laman blog yang lain. Sememangnya itu dua bidang berbeza - penulisan kreatif dan penulisan berbentuk maklumat dan tips. Pada masa ini saya sedang sibuk menyiapkan sebuah novel (ya, sebuah novel...). Tapi sama ada ianya akan berada di pasaran satu hari nanti atau tidak, itu di luar bidang kuasa saya. Sebagai insan kita hanya mampu berusaha, dan selebihnya terserah kepadaNya.
3. Ekoran dari perkara #2 di atas, saya ada perancangan baru di Kausar Kreatif. Terlalu awal untuk saya memberitahu hala tuju perkara ini. Tetapi sekiranya anda setia mengikuti perkembangan di laman ini, anda akan tahu juga apa yang saya maksudkan. Buat masa ini, cukuplah itu sebagai petanda awal kepada anda.
4. Lantaran kesibukan baru ini, saya akan cuba membuat entri baru di dalam segmen-segmen yang ada, paling tidak pun sesuatu yang saya ambil secara berhemah dari tempat lain untuk dikongsi dengan anda.
Akhir kata, terima kasih kerana sudi terus berkunjung ke sini walaupun dalam keadaan laman saya yang serba kekurangan ini. Selamat berkunjungan dan menerima kunjungan sepanjang bulan Syawal ini dan selamat kembali bertugas kepada anda semua.