SELAMAT DATANG

Wednesday, June 10, 2009

Sambutan Hari Bapa

Jika di dalam bulan Mei kita menyambut hari untuk menghargai para ibu dan para guru, di dalam bulan Jun adalah masa untuk menunjukkan penghargaan kita kepada kaum bapa pula. Tarikhnya adalah 21 Jun 2009 dan jatuh pada hari Ahad. Seperti Hari Ibu dan Hari Guru, anda disajikan dengan beberapa tips dan idea untuk meraikan hari tersebut, untuk Hari Bapa disediakan beberapa cara untuk meraikannya bersama insan yang anda sayangi dan hormati ini.

Tidak kira apa panggilan yang anda beri sama ada ayah, abah, daddy, papa, bapak atau ayahanda sekalipun, Hari Bapa adalah peluang untuk anda melahirkan penghargaan anda kepada mereka. Ada beberapa cara untuk anda menyambut hari tersebut bersama bapa anda.

1. Anda boleh masakkan hidangan istimewa untuk bapa anda pada hari tersebut. Jika anda inginkan kelainan dari hidangan biasa, anda boleh cuba resepi pizza dan donut di dalam segmen Resepi dan Masakan.

2. Anda boleh buat sebuah scrapbook atau buku skrap untuk dihadiahkan kepada bapa anda. Scrapbook adalah sebuah album yang dihasilkan sendiri dengan pelbagai maklumat termasuk gambar foto, nota dan apa juga perkara yang digunakan untuk memperingati sesuatu perkara atau peristiwa. Anda boleh kumpulkan pelbagai memori dan perkara yang berkaitan dengan bapa anda untuk tatapannya sebagai tanda penghargaan anda. Perkara-perkara yang boleh anda kumpulkan di dalam scrapbook anda termasuk sajak, kenangan lucu, sedih dan gembira (bergambar atau coretan), dan ucapan dari setiap ahli keluarga. Untuk maklumat lanjut tentang scrapbook, anda boleh baca di dalam artikel Membuat buku skrap di dalam segmen Seni dan Kraf.


3. Sekiranya anda tidak ada masa untuk membuat scrapbook untuk bapa anda, anda boleh hasilkan sebuah kad pop up. Kad pop-up memberi sedikit kelainan dari kad biasa kerana ia ada unsur 3D apabila kad tersebut dibuka. Terdapat pelbagai jenis kad pop up, dan jika anda ingin hsilkan sesuatu yang ringkas, anda boleh cuba teknik kad pop-up di dalam segmen Seni dan Kraf

4. Pada hari tersebut, anda boleh bawa bapa anda untuk berehat bersama keluarga anda. Anda boleh membawa bapa anda untuk pergi berkelah atau menjalankan aktiviti kegemarannya seperti bermain go-kart atau memancing.

5. Anda boleh hadiahkan sebuah "keratan akhbar tiruan" yang menceritakan kehebatan dan pengorbanan seorang insan yang bernama bapa anda beserta gambarnya sekali dan diabadikan di dalam sebuah bingkai gambar. Anda boleh dapatkan gambaran idea ini di laman In The Paper.


6. Anda boleh hadiahkan sesuatu dengan kata-kata istimewa untuk bapa anda seperti sebuah kole (mug), t-shirt, topi, alatulis, alat organizer meja atau beg. Jika anda boleh berbelanja lebih, anda boleh hadiahkan barangan pewter dengan ukiran kata-kata khas untuk bapa anda berupa pen, jam atau bingkai gambar

7. Jika mengambil dan menyimpan koleksi video keluarga telah menjadi aktiviti keluarga anda, anda boleh sunting klip-klip video yang melibatkan bapa anda atau yang sesuai untuk dijadikan koleksi sempena Hari Bapa di dalam bentuk CD atau DVD, beserta klip-klip tambahan seperti deklamasi sajak, ucapan ceria atau sentimental daripada setiap ahli keluarga anda dan beramai-ramai. Hasilnya tentu menjadi kenangan berpanjangan apabila dimainkan berkali-kali di pemain CD atau DVD anda untuk tayangan di kaca TV.

8. Anda boleh selidik apakah minat istimewa bapa anda dan berikan hadiah yang bersesuaian dengan minat atau hobi masa lapangnya. Contohnya jika bapa anda gemar memancing, anda boleh hadiahkan sebuah buku tentang teknik-teknik memancing.
Anda boleh pergi ke laman Gifts.com untuk mendapat gambaran hadiah yang sesuai dengan personaliti bapa anda

No comments: