SELAMAT DATANG

Sunday, August 16, 2009

Ramadhan, kedatangan yang ditunggu?


Saban tahun, akan tiba satu bulan di mana pelbagai reaksi akan kita dapat daripada pelbagai golongan masyarakat khususnya umat Islam.

Ada yang mengeluh kerana terpaksa menahan lapar dan dahaga selama sebulan. Ada yang mengeluh kerana pada bulan ini penyakit gastrik datang lagi. Tak kurang juga yang mengeluh kerana pada bulan ini terpaksa balik awal (jika bekerja) untuk menyiapkan juadah berbuka untuk keluarga. Dan mungkin juga ada yang mengeluh kerana pada bulan ini banyak perbelanjaan terpaksa dikeluarkan untuk persiapan menyambut Hari Raya selepas tamat bulan Ramadhan nanti.


Ada juga yang gembira dengan kedatangan bulan Ramadhan, kerana ia membuka peluang mencari rezeki tambahan, sama ada berniaga di bazar Ramadhan atau menjual barang-barang persiapan untuk menyambut Hari Raya termasuk kuih raya, perhiasan rumah atau pakaian.

Bagi golongan bukan Islam juga, bulan Ramadhan adalah peluang untuk menikmati pelbagai jenis juadah yang tidak dapat dinikmati di dalam bulan-bulan yang lain, terutamanya di bazar-bazar Ramadhan.
Yang pastinya Ramadhan janganlah kita hadkan hanya kepada makan-minum dan persiapan untuk beraya saja, kerana matlamat utamanya adalah untuk membentuk ruhani dan kehidupan kita ke arah yang lebih baik.

Ramadhan adalah peluang untuk kita mempertingkatkan kesihatan kita kerana setelah setahun kita memanjakan diri kita dengan pelbagai juadah yang enak, ini adalah masa yang baik untuk memberi peluang tubuh kita "berehat" terutamanya di bahagian penghadaman dan pemakanan.

Ramadhan juga memberi kita peluang untuk menghayati kehidupan masyarakat yang kurang berkemampuan, yang terpaksa berlapar dan dahaga kerana tidak ada apa untuk dimakan atau minum, terutamanya di negara-negara yang diancam kebuluran akibat bencana alam dan peperangan. Meskipun negara kita diancam wabak H1N1 buat masa ini, namun kenikmatan hidup yang kita alami di bumi Malaysia ini jauh lebih baik daripada sebahagian dari tempat-tempat lain di pelusuk bumi ini.

Mungkin Ramadhan tahun ini adalah peluang baik untuk kita mengimbas semula kehidupan kita, sama ada ianya lebih baik dari tahun-tahun sebelum ini, ataupun sebaliknya. Sebagai umat Islam kita meyakini bahawa kehidupan bukanlah untuk penghidupan di dunia ini sahaja, malah untuk kehidupan yang penuh misteri di alam terkemudian yang hanya kita ketahui beritanya daripada Al-Quran dan kata-kata junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. Janganlah hendaknya kesibukan kita seharian menjadi alasan untuk kita mengemudiankan perihal persiapan kita ke alam sana kerana akhir-akhir ini banyak berita-berita kematian mengejut yang kita terima terutamanya di kalangan selebriti yang kita sanjung dan kagumi. Yang pastinya kita semua adalah dalam perjalanan ke sana, tanpa mengetahui tarikh keberangkatan kita...

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang persiapan yang perlu untuk kita menghadapi ibadat puasa ini dan muat turun risalah tentang Ramadhan, silalah berkunjung ke segmen Agama untuk membaca tentang Ramadhan dan Ibadah Puasa.

Dengan kesempatan ini juga saya ingin ucapkan selamat menyambut bulan Ramadhan dan selamat mengerjakan ibadah puasa kepada semua pengunjung Kausar Kreatif yang beragama Islam. Semoga Ramadhan tahun ini dapat membentuk diri yang lebih baik untuk diri saya dan anda semua juga, insya'Allah.

Wallahua'lam dan wassalam.
--------------------------------------------------------------------------------------
Nota: Kadar jumlah bayaran zakat fitrah bagi negeri-negeri di Malaysia bagi tahun 2009 (kecuali Kelantan dan Wilayah):
Selangor, Pahang, Perak, Kedah dan Pulau Pinang - RM7.00

Terengganu - RM5.00, RM7.00 dan RM8.00

Johor - RM5.00 dan RM7.50

Sabah - RM6.60

Negeri Sembilan - RM6.50

Melaka - RM6.30

Sarawak dan Perlis - RM6.00
Sumber: Utusan Online
--------------------------------------------------------------------------------------

No comments: