SELAMAT DATANG

Monday, August 31, 2009

Kemerdekaan, khazanah yang tidak ternilai


Dalam menjalani arus peredaran masa dengan perkembangan yang berlaku saban hari di Malaysia dan seluruh dunia, tanpa kita sedari telah 52 tahun negara kita mengecapi nikmat kemerdekaan. Dalam kesenangan atau kepayahan yang kita hadapi saban hari, kemerdekaan hanya tinggal sebagai satu lembaran sejarah atau satu tarikh untuk diraikan oleh segenap lapisan masyarakat dan kaum di Malaysia.

Telah menjadi adat manusia apabila mengecapi sesuatu nikmat, peluang atau kesenangan, lama-kelamaan kita akan tenggelam dalam keseronokan hingga alpa dan lalai daripada menghargai nilai sesuatu yang kita miliki. Nilai kemerdekaan hanya dapat dirasai oleh mereka yang telah merasa jerih-perit hidup dalam penjajahan dan perjuangan hingga menitiskan keringat dan darah untuk lepas dari belenggu penjajahan.

Hari ini kita menonton atau mendengar upacara pengisytiharan kemerdekaan oleh Allayarham Tunku Abdul Rahman sebagai satu upacara bersejarah, tetapi kita tidak dapat merasakan harga dan nilai sebenar di sebalik kejayaan perjuangan mereka yang telah berhempas-pulas untuk sampai ke matlamat itu.

Di pelbagai pelusuk dunia pada masa ini, masih ada negara-negara yang diancam peperangan dan hidup di dalam ketakutan dan kepayahan. Bagi mereka hidup di dalam keamanan dan keselamatan daripada ancaman peperangan dan kebuluran adalah satu impian yang belum tentu dapat dicapai selama hayat mereka. Kanak-kanak pada usia yang sepatutnya sedang riuh bergelak-ketawa bermain-main di laman bersama rakan, telah merasa ketakutan dan kekalutan akibat bedilan bom dan tembakan peluru yang boleh tiba bila-bila masa tanpa disangka-sangka.

Kemerdekaan adalah satu nikmat yang ada di antara kita telah nikmati semenjak tiba di dunia ini lagi. Sememangnya sukar untuk kita menghayati nilai dan erti sebenar kemerdekaan kerana kita tidak berada di dalam kepayahan dan kesengsaraan hidup dalam peperangan dan penjajahan.

Nikmat kemerdekaan ini adalah satu anugerah yang setiap di antara kita bertanggung-jawab untuk menjaga dan meneruskannya hingga ke generasi yang akan datang. Adalah lebih mudah untuk merosakkan keamanan daripada mengekalkannya. Janganlah kerana perbezaan pendapat dan fahaman sesama kaum, ataupun kerana perbezaan kaum, atau juga kerana perbezaan fahaman beragama kita, keamanan dan kesenangan yang kita kecapi hari ini menjadi taruhan. Tidak mustahil jika kita mengabaikan tanggung-jawab kita, kemerdekaan yang kita miliki hari ini akan kembali menjadi kehidupan dibelenggu penjajahan kerana ancaman dan musuh-musuh negara sentiasa mencari dan mengambil kesempatan dengan peluang yang ada.

Dengan peluang ini juga, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Negara Malaysia yang ke 52 kepada seluruh rakyat Malaysia, tidak kira agama, bangsa atau di mana pelusuk dunia anda berada pada masa ini.



"Di wajah suci anak-anak ini ku lihat sinar
Di hati murni mereka terpahat sebuah impian
Andai sengketa membelenggu sesama
Andai kerakusan menguasai kita
Ke manakan tumpah harapan mereka

Kerna,
Di bahu kitalah terpikul segunung amanah
Di jemala kita terjunjung selaut ikrar
Melunas sumpah, menunai janji

Ayuhlah,
Rakan dan taulan, sahabat dan saingan
Lupakan beda lebihkan menerima
Bertatihlah bersamaku, kita berjalan seiringan, kita melangkah sehaluan
1 suara, 1 impian, 1 harapan, 1Malaysia"


"Harapan" - Nukilan Perdana Menteri Malaysia, Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak (Sumber: Malaysia Merdeka)

No comments: