SELAMAT DATANG

Tuesday, October 6, 2009

Keusahawanan - Antara Realiti dan Fantasi



Ramai orang berminat untuk memulakan perniagaan atau perusahaan sendiri dan bergelar usahawan kerana teruja dengan kemungkinan yang tiada batas berbanding dengan bekerja di bawah orang lain. Namun begitu, adakah cukup sekadar minat dan semangat yang berkobar untuk menjadikan impian itu satu realiti?

Terdapat beberapa sebab seseorang itu tertarik untuk memulakan perniagaan sendiri. Antaranya adalah:
1. peluang untuk mendapat sumber kewangan yang banyak
2. menjadi terkenal
3. ingin menjadi bos kepada diri sendiri
4. bosan bekerja dengan orang lain
5. kestabilan kewangan untuk diri dan keluarga
6. bekerja ikut masa yang ditetapkan sendiri
7. menjadikan hobi sebagai sumber pendapatan
8.mencipta kejayaan dengan titik-peluh sendiri

Meskipun kejayaan dan keuntungan yang dijanjikan dengan menjadi seorang usahawan adalah besar, di sebaliknya juga terdapat pelbagai risiko dan cabaran yang perlu anda lalui.
Antaranya adalah:
1. Memerlukan kerja keras dan masa bekerja yang lama, pada peringkat permulaan dan untuk mengekalkan prestasi perniagaan anda.
2. Pelbagai cabaran yang perlu anda hadapi boleh memberikan tekanan yang lebih dalam hidup anda
3. Anda terpaksa mengurangkan masa yang perlu diluangkan bersama keluarga, bagi memastikan kejayaan perniagaan atau perusahaan anda
4. Anda terdedah kepada risiko hutang kepada para pemiutang dan hutang kepada pelanggan secara kredit. Ini termasuk kemungkinan anda terpaksa menjual aset anda berupa rumah, kereta atau apa saja untuk melangsaikan hutang anda.

Bidang keusahawanan adalah penuh dengan risiko dan cabaran, tetapi jika anda berjaya menghadapinya dengan baik, jalan yang luas terbentang di hadapan anda mungkin sehingga ke peringkat global atau antarabangsa.

Untuk maklumat lanjut tentang persiapan yang anda perlukan untuk menceburi bidang keusahawanan, atau menguji sejauh mana kesediaan anda untuk menceburi bidang ini, sila kunjungi Segmen Wang & Perniagaan.

Gaya Hidup Sihat


Dalam kesibukan kita sama ada dalam menguruskan kehidupan kita atau menyelesaikan masalah seharian, kita sering terlepas pandang kepentingan untuk menjaga kesihatan kita. Sebagaimana pelbagai nikmat dan kesenangan lain yang kita kecapi, nilai dan kepentingannya hanya kita hargai apabila ia sudah lenyap dari kehidupan kita.

Kesihatan adalah satu nikmat yang amat bernilai, kerana dengan kesihatan yang baik kita boleh menjalani kehidupan dengan skop yang lebih luas dan mencuba pelbagai kemungkinan yang ada. Namun begitu, kesihatan kita dipengaruhi oleh pelbagai faktor fizikal, mental dan spiritual. Faktor-faktor fizikal melibatkan gaya hidup kita (sama ada kita merokok atau mengambil alkohol), kekerapan kita bersenam untuk melancarkan peredaran darah dan mengeluarkan toksin tubuh melalui sistem perpeluhan kita. Faktor-faktor mental melibatkan tekanan yang kita hadapi termasuk stres atau gangguan psikologi. Faktor spiritual melibatkan perkara-perkara berkaitan dengan pegangan beragama kita. Sebagai contoh, di dalam Islam terdapat hadis yang berkaitan dengan penjagaan kesihatan melalui solat atau sembahyang dan bangun tahajjud di kegelapan malam (sumber: Halaqah.net)

Terdapat pelbagai sumber di internet untuk kita mengkaji sejauh mana tahap kesihatan kita dan
sejauh mana kita terdedah kepada risiko penyakit seperti serangan jantung, diabetes, kemurungan (depression) dan lain-lain. Anda juga boleh mengetahu sebahagian daripada laman-laman yang berkaitan dengan kesihatan anda dengan mengunjungi Segmen Kesihatan & Pemakanan

Lelaki : ED dan EHS


Di dalam alam rumahtangga, dua perkara ini menjadi fokus kepada setiap kaum Adam dalam menjalani kehidupan berkelamin yang bahagia. Meskipun ada pendapat mengatakan seks bukanlah satu-satunya perkara penting di dalam alam perkahwinan, tetapi ia boleh menjadikan hubungan suami-isteri lebih intim dan sempurna.

Ereksi merujuk kepada kebolehan alat kelamin lelaki untuk tahan sepanjang proses bersenggama atau selama yang dikehendaki. Ejakulasi pula adalah proses di mana air mani dilepaskan keluar daripada bahagian testis melalui urethra. Ereksi dan ejakulasi adalah berkait rapat kerana pada kebiasaannya ereksi akan hilang selepas proses ejakulasi berlaku. Terdapat juga kes di mana ereksi boleh kekal walaupun ejakulasi telah berlaku, sehingga berjam-jam lamanya. Keadaan ini dipanggil Priapism. Meskipun kebolehan untuk menahan ereksi sehingga berjam-jam lamanya adalah menjadi impian setiap lelaki, namun hakikatnya priapism yang berlaku lebih daripada 4 jam boleh menyakitkan dan sekiranya ia berterusan sehingga lebih 12 jam boleh mengakibatkan kecederaan kekal (sila kunjungi Segmen Lelaki untuk mengetahui lebih lanjut tentang Priapism)

Kegagalan alat kelamin lelaki berfungsi dengan baik dipanggil "Erectile Dysfunction" atau singkatannya ED. ED boleh diukur dengan "Erection Health Scale" (EHS) iaitu skala bagi mengukur kesihatan atau ketegangan ereksi yang diperkenalkan oleh Pfizer, pengeluar produk Viagra yang digunakan untuk mereka yang mengalami masalah ED.

Menurut skala ini ketegangan ereksi dikategorikan kepada empat jenis:
1 - Tiada ereksi walaupun saiz besar
2 - Ada ereksi, tetapi tidak cukup padat untuk melakukan hubungan kelamin
3 - Ada ereksi, tetapi tidak tegang sepenuhnya semasa melakukan hubungan kelamin
4 - Ereksi sempurna dan tegang sepenuhnya

Walaupun sedikit melucukan, tetapi perumpamaan keempat-empat skala ini dari 1 hingga empat telah diperbandingkan dengan tahu, pisang yang telah dikupas, pisang yang belum dikupas dan timun.

Oleh itu, janganlah anda terkejut jika seseorang bertanya kepada anda,
"Saudara ini tauhu, pisang atau timun?"

Untuk maklumat lanjut tentang ereksi yang normal, pelbagai komplikasi ejakulasi (termasuk ejakulasi pramatang dan priapism) dan pelbagai teknik mengatasi ED, sila kunjungi Segmen Lelaki

Merokok - Perlukah Anda Berhenti?

Sekiranya anda seorang perokok, tentu soalan ini sering bermain di fikiran anda, terutamanya setelah tabiat ini telah sebati dalam hidup anda dan adakala menjadi sumber motivasi atau inspirasi dalam hidup anda.

Tentu anda telah berdepan dengan pelbagai gimik dan taktik untuk menakutkan anda atau untuk memujuk anda secara berhemah supaya meninggalkan tabiat tersebut.

Terdapat pelbagai cara digunakan di dalam kempen anti-rokok yang digunakan di seluruh dunia. Antaranya adalah:

1. Memaparkan gambar-gambar pesakit kronik yang diakibatkan oleh tabiat merokok.
Ini tentu telah biasa anda lihat (dan telah lali) pada kotak rokok, di dalam akhbar, televisyen, papan tanda atau mungkin pada dinding bas.

2. Memberikan statistik-statistik kematian berkaitan dengan tabiat merokok sama ada di negara kita atau seluruh dunia

3. Memberikan alternatif kepada tabiat tersebut, supaya anda dapat meninggalkan ketagihan kepada nikotin di dalam tembakau

4. Mengadakan kempen secara global untuk menangani ketagihan kepada tabiat ini
Ini termasuk pengisytiharan Hari Tanpa Tembakau Sedunia pada 31 Mei setiap tahun

5. Menggunakan pendekatan bijak secara "reverse psychology" atau taktik lain bagi membolehkan perokok melihat tabiat mereka dari sudut yang berbeza. Ini termasuk lukisan atau gambar mural yang kreatif peperti yang dihasilkan oleh Everest Brand Solutions dan the Cancer Patients Aid Association (sila kunjungi Segmen Kesihatan & Pemakanan untuk melihat gambar ini)

Sama ada kempen-kempen ini adalah sekadar gimik atau taktik, kita tidak dapat menafikan bahawa kesan-kesan buruk akibat merokok sememangnya wujud walaupun betapa sebatinya kita dengan tabiat ini. Tambahan pula laporan terbaru menunjukkan terdapat kategori baru dalam jenis-jenis perokok iaitu "third hand smoker" atau perokok ketiga yang mendapat kesan-kesan buruk dari rokok bukan secara kaitan terus dengan asap atau rokok itu sendiri. Perokok ketiga ini mendapat kesan merokok daripada objek-objek yang berkaitan dengan perokok seperti rambut, pakaian, permaidani atau sofa. Laporan yang asalnya bertujuan mengkaji risiko ke atas bayi dan kanak-kanak ini, diterbitkan di dalam Jurnal Pediatrik Amerika Syarikat dalam bulan Januari tahun ini.

Jika anda terfikir untuk berhenti tetapi tertanya-tanya apakah peluang anda untuk dapat meninggalkan terus tabiat ini, sila kunjungi Segmen Kesihatan & Pemakanan . Anda juga boleh mengetahui lebih lanjut tentang Kenpen Anti Tembakau Sedunia dengan berkunjung ke segmen tersebut Klik Di Sini